Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KKM Laksana Bayaran Insentif Pakar Prawarta Pegawai Perubatan Dalam Tempoh SWE

Azizah Najib
Bayaran insentif pakar prawarta
Kredit: Bernama

KKM Laksana Bayaran Insentif Pakar Prawarta Pegawai Perubatan Dalam Tempoh SWE

PUTRAJAYA, 14 Julai (Bernama) – Kerajaan meluluskan pelaksanaan Bayaran Insentif Pakar Prawarta (BIPPW) kepada pegawai perubatan yang sedang menjalani tempoh pengalaman kerja diselia (SWE) selepas tamat latihan kepakaran.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan BIPPW adalah selaras dengan Akta Perubatan (Pindaan) 2024 yang mula dikuatkuasakan pada 1 Julai lepas.

“Bayaran BIPPW ini akan mula diberikan sebaik sahaja pegawai memulakan SWE. Sebelum Akta Perubatan 1971 dipinda pada 2024, proses ini dikenali sebagai Proses Pewartaan Pakar, iaitu pegawai itu hanya akan menerima Bayaran Insentif Pakar (BIP) setelah berjaya menamatkan proses pewartaan.

“Kadar bayaran bagi BIPPW adalah sama seperti kadar bayaran bagi BIP dan ditetapkan mengikut gred hakiki pegawai, melibatkan Gred 10 hingga 14,” menurut KKM.

SWE adalah suatu tempoh percubaan yang perlu dilalui oleh semua pegawai perubatan setelah berjaya tamat latihan kepakaran. Pegawai akan diselia oleh pakar perubatan lebih kanan bagi memastikan mereka kompeten dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang pakar.

Pemberian insentif itu juga adalah pengiktirafan terhadap komitmen dan beban tugas yang dipikul oleh pegawai sepanjang menjalani tempoh SWE, yang melibatkan pelaksanaan tugas seperti seorang pakar perubatan.

Ia juga adalah langkah signifikan ke arah penjagaan kebajikan warga kerja KKM, di samping meningkatkan motivasi dan memastikan kesinambungan perkhidmatan perubatan kepada rakyat.

Menurut KKM, dengan berkuat kuasa Akta A1729, semua latihan kepakaran yang dijalankan dalam negara adalah lebih teratur dari segi undang-undang.

“Mana-mana pengamal perubatan yang terjejas dengan isu pengiktirafan serta pendaftaran pakar khususnya mereka dalam bidang pembedahan kardiotorasik, perubatan keluarga, pembedahan plastik dan patologi generik, kini boleh dipertimbangkan untuk pendaftaran sebagaimana yang telah dijanjikan oleh kerajaan pada awal 2024,” menurut KKM.

Pegawai perubatan yang menjalani SWE selaras dengan keteraturan proses yang berkaitan juga tidak perlu lagi bimbang mengenai elaun yang mereka layak terima dan KKM komited untuk terus memperkasa sistem kesihatan negara dan berharap semua pegawai dapat memberikan sumbangan berterusan demi kesejahteraan masyarakat.

BACA: Pasangan Suami Isteri Ditahan, Dadah RM3.1 Juta Disorok Dalam Peket Kacang Gajus

BACA: Pertama Di Malaysia, Aplikasi Bank Digital Ada Penunjuk Kiblat & Zikir “Counter”

Sumber: Bernama