Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

TUDM Laksana Latihan Kelawar 2026 Di Sabah Bermula 20 Julai

KELAWAR
Kredit: Bernama

TUDM Laksana Latihan Kelawar 2026 Di Sabah Bermula 20 Julai

Penduduk di sekitar Tawau, Semporna dan Lahad Datu dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya melihat pesawat tentera terbang rendah atau kehadiran aset pertahanan di kawasan mereka bermula 20 hingga 29 Julai ini.

Ini berikutan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan Latihan Kelawar 2026 di kawasan Operasi (Op) Pasir Selatan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesiapsiagaan operasi angkatan itu.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM berkata dalam satu kenyataan hari ini, latihan berkenaan bertujuan meningkatkan kompetensi, kecekapan dan kesiagaan anak kapal serta aset helikopter TUDM melalui pelaksanaan penerbangan taktikal dalam menghadapi konflik dan ancaman bukan tradisional, khususnya pada waktu malam.

“Tujuan latihan yang diadakan ini adalah bagi memperkasa kompetensi, kecekapan dan kesiagaan operasi anak kapal serta aset helikopter TUDM melalui pelaksanaan penerbangan taktikal dalam menghadapi konflik dan ancaman bukan tradisional khususnya pada waktu malam,” menurut kenyataan itu.

Menurut TUDM, latihan tersebut turut melibatkan kerjasama pasukan elit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Pasukan Khas TUDM (PASKAU), Pasukan Khas Tentera Laut Diraja Malaysia (PASKAL) dan Grup Gerak Khas (GGK).

Katanya, sepanjang tempoh latihan, pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal pada altitud rendah bersama pergerakan aset maritim milik agensi keselamatan yang terlibat di kawasan latihan yang telah diwartakan.

Sehubungan itu, TUDM meminta orang ramai, khususnya penduduk di kawasan terlibat, agar tidak berasa cemas sekiranya melihat pesawat terbang rendah atau kehadiran aset pertahanan dan keselamatan sepanjang latihan dijalankan.

“Pihak TUDM ingin memaklumkan kepada masyarakat setempat agar tidak berasa cemas sekiranya melihat pesawat-pesawat terbang pada altitud rendah atau melihat kehadiran aset-aset pertahanan dan keselamatan di kawasan sekitar sepanjang tempoh latihan ini dilaksanakan,” menurut kenyataan sama.