Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

RUU KWAN 2026 Diluluskan, Kukuh Simpanan Negara Demi Generasi Akan Datang

RUU KWAN
Kredit: Bernama

RUU KWAN 2026 Diluluskan, Kukuh Simpanan Negara Demi Generasi Akan Datang

Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 2026 yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh simpanan antara generasi bagi memastikan rizab kewangan negara kekal mampan untuk manfaat rakyat pada masa hadapan.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini berkata, RUU berkenaan merupakan pembaharuan menyeluruh pertama terhadap KWAN sejak dana itu ditubuhkan pada tahun 1988.

Menurut MOF, pembaharuan tersebut selaras dengan agenda reformasi ekonomi kerajaan yang memberi penekanan kepada tadbir urus lebih kukuh, disiplin fiskal dan daya tahan kewangan negara.

“Melalui RUU ini, dicadangkan penubuhan KWAN (Diperbadankan) sebagai sebuah badan berkanun yang menggantikan struktur panel sedia ada, dengan sebuah lembaga yang bertanggungjawab mentadbir, mengurus dan melabur Kumpulan Wang.

“Dalam tempoh peralihan, pengurusan dana Kumpulan Wang akan terus ditadbir dan diurus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang telah menjalankan peranan ini sejak penubuhan KWAN bagi memastikan kesinambungan,” katanya.

MOF berkata, RUU itu turut memperkenalkan peruntukan yang lebih jelas dan mengikat berkaitan aspek sumbangan, penggunaan serta pelaburan dana KWAN.

Katanya, di bawah mekanisme sumbangan berkanun, Kerajaan Persekutuan diwajibkan menyumbang sekurang-kurangnya 0.1 peratus daripada hasil tahunan yang diunjurkan, selain 2.0 peratus daripada dividen Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang diterima kerajaan.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 2.0 peratus daripada hasil duti eksport sumber menyusut yang diterima Kerajaan Persekutuan selepas ditolak penyerahhakan kepada kerajaan negeri turut disalurkan kepada KWAN.

“Kadar ini merupakan kadar minimum dan Kerajaan Persekutuan boleh menambah sumbangan pada bila-bila masa,” katanya.

Dalam pada itu, MOF menjelaskan penggunaan dana KWAN akan dihadkan kepada tiga sektor utama iaitu pendidikan, penjagaan kesihatan serta mitigasi dan penyesuaian terhadap perubahan iklim.

Menurutnya, bagi memastikan nilai prinsipal dana terus terpelihara, jumlah pengeluaran tahunan tidak boleh melebihi 50 peratus daripada kadar pulangan benar jangka panjang yang dijangka.

“Sebarang pengeluaran yang melebihi had tersebut perlu mendapat kelulusan Dewan Rakyat,” katanya.

MOF berkata, dana KWAN juga akan dilaburkan secara berhemat merentasi kelas aset yang dibenarkan berdasarkan Peruntukan Aset Strategik yang diluluskan oleh Menteri Kewangan.

Jelasnya, langkah itu bertujuan memastikan KWAN terus berkembang sebagai dana simpanan negara yang mampan, sekali gus memberi manfaat kepada generasi masa kini dan akan datang.