Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Trump Kekal Atas Pentas Ketika Chelsea Julang Trofi, Palmer Luah Rasa Keliru

Sofea
Kredit: AFP

Trump Kekal Atas Pentas Ketika Chelsea Julang Trofi, Palmer Luah Rasa Keliru

Kelab bola sepak, Chelsea, telah mencatat sejarah baharu hari ini apabila berjaya menjadi juara Piala Dunia Kelab FIFA 2025.

The Blues merangkul kejuaraan itu selepas menewaskan Paris St-Germain (PSG) 3-0 di New Jersey.

Lebih manis, kemenangan mereka juga turut disambut oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang menyampaikan trofi kepada kapten pasukan, Reece James.

Namun, situasi yang agak canggung telah berlaku ketika itu dan mendapat perhatian ramai. Selepas menyerahkan trofi, Trump dilihat masih kekal di atas pentas di samping James dan penjaga gol, Robert Sanchez.

Turut sama meraikan, beliau dilihat bertepuk tangan ketika James menjulang trofi berkenaan dan masih kekal di situ.

Beberapa saat kemudian, Trump dijemput oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino, untuk ke bahagian belakang pentas.

Momen itu semestinya mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan warganet. Ada yang memuji tindakan Trump kerana meraikan para pemain. Tidak kurang juga, ada yang memerlinya dan berkata bahawa beliau sukakan perhatian.

BACA JUGA: Trump Sedia Tangguh Lagi Tarif Import

Dalam pada itu, Reece James dalam satu temu bual berkongsi mengenai detik-detik ketika di atas pentas itu.

“Mereka memberitahu saya bahawa dia (Trump) akan menyampaikan trofi dan kemudian keluar dari pentas dan saya fikir dia akan melakukannya. Tetapi dia mahu kekal di situ.

“Dia hanya mengucapkan tahniah kepada saya dan pasukan kerana menjulang trofi dan memberitahu kami untuk menikmati kemenangan ini,” katanya.

Berbeza pula dengan reaksi Cole Palmer yang meluahkan kekeliruan.

“Saya tahu dia akan berada di sini tetapi saya tidak tahu dia akan berada di atas pentas ketika kami menjulang trofi. Ya, saya agak keliru,” ujarnya.

Sebelum itu, Trump berkata beliau sangat teruja menonton perlawanan di Stadium MetLife itu yang turut dihadiri 81,118 penonton.

Beliau juga berkata ia juga adalah salah satu bentuk sokongan kepada rakannya, Gianni.

“Gianni ialah kawan saya, dia telah melakukan kerja yang sangat hebat dalam dunia bola sepak,” katanya.

Sementara itu, Amerika Syarikat bersama Kanada dan Mexico akan menjadi tuan rumah Piala Dunia Lelaki 2026 pada musim panas akan datang.

Sumber: BBC Sport