Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Kulit Pisang Jangan Buang, Boleh Buat Baja Suburkan Tanaman

Azizah Najib
kulit pisang baja
Kredit: Azuan Abdullah

Kulit Pisang Jangan Buang, Boleh Buat Baja Suburkan Tanaman

Aktiviti berkebun bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi kepuasan apabila melihat tanaman tumbuh subur hasil penjagaan rapi.

Antara elemen penting dalam penjagaan tanaman adalah pembajaan. Dengan pemberian baja yang betul, ia membantu membekalkan nutrien kepada pokok bagi memastikan pertumbuhan yang sihat dan hasil yang baik.

Selain itu, membaja pokok secara berkala juga dapat meningkatkan daya tahan tanaman terhadap penyakit serta mempercepatkan proses pengeluaran bunga dan buah.

Hari ini, pelbagai jenis baja tersedia di pasaran. Namun ramai penggemar kebun kini beralih kepada alternatif semula jadi yang lebih mesra alam.

Baja organik seperti yang dihasilkan daripada sisa dapur lebih selamat digunakan, tidak mencemarkan alam dan tetap memberi manfaat kepada tumbuhan. Seperti petua yang diberi oleh seorang pengguna Facebook, Azuan Abdullah, senipis kulit pisang pun boleh dijadikan baja.

Menurut Azuan, kulit pisang yang dijadikan baja ini merupakan baja foliar buah yang paling jimat dan mudah. Baja foliar merupakan jenis baja yang disembur pada daun tanaman.

Bagi menghasilkan baja ini, anda hanya perlukan kulit pisang dengan skala satu bahagian atau satu besen. Dapatkan juga air basuhan beras sebanyak tiga bahagian iaitu tiga besen. Kemudian, sediakan satu bekas plastik.

Kumpul kulit pisang tadi dan masukkan ke dalam bekas plastik bersama air basuhan beras. Pastikan anda menggunakan bekas yang agak besar supaya bekas dapat ditutup apabila kulit pisang dan air basuhan beras dimasukkan.

Kemudian, simpan bekas di tempat yang teduh selama dua hingga tiga hari.

Selepas beberapa hari, tapis dan ambil larutan sahaja. Bagi Azuan, kulit pisang tadi masih boleh digunakan sebagai baja.

“Sisa kulit pisang boleh diletakkan di pangkal pokok,” cadang lelaki berkenaan.

Ambil larutan tadi dan masukkan ke dalam alat penyembur. Penting untuk anda tahu, larutan ini perlu dicairkan terlebih dahulu sebelum digunakan.

Cairkan larutan dengan nisbah 1:1, iaitu satu bekas larutan dicampur dengan satu bekas air. Selepas itu, barulah anda boleh gunakan larutan tadi untuk disembur pada bahagian bawah daun.

Pesan Azuan, larutan perlu disembur ketika pokok sedang berbunga dan berbuah. Malah, anda juga perlu membuat semburan seminggu sekali.

“Baja cecair kulit pisang ni kaya dengan unsur kalium. Pokok yang cukup kalium akan berbuah lebat dan buahnya pun bekualiti.

“Nak pokok berbuah lebat, sahabat bolehlah cuba sembur foliar kulit pisang ini ya. Saya selalu spray pada pokok cili dan limau kasturi. Kesannya sangat puas hati.

“Zero kos namun hasilnya sangat ohsem,” kongsi lelaki itu.

Selamat mencuba.

Sumber: Azuan Abdullah

BACA: Cara Perangkap Lalat Guna Kulit Pisang, Mudah & Berkesan

BACA: Tumbuh Subur & Besar, Lelaki Kongsi Rahsia Tanam Bayam Sihat