Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Trump Bakal Kenakan Tarif 19 Peratus Terhadap Indonesia

Azizah Najib
trump tarif indonesia
Kredit: Andrew Caballero-Reynolds/AFP

Trump Bakal Kenakan Tarif 19 Peratus Terhadap Indonesia

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan beliau telah memeterai satu perjanjian perdagangan bersama Indonesia pada Selasa yang menyaksikan komitmen pembelian signifikan daripada negara berkenaan, lapor AFP.

Perjanjian tersebut dilaksanakan selepas rundingan bagi mengelakkan tarif yang lebih tinggi.

Menerusi satu hantaran di platform Truth Social, Trump berkata bahawa barangan dari Indonesia yang memasuki AS akan dikenakan tarif sebanyak 19 peratus. Kadar ini jauh lebih rendah berbanding 32 peratus yang sebelum ini diancam oleh beliau.

”Sebagai sebahagian daripada perjanjian ini, Indonesia telah komited untuk membeli Tenaga AS bernilai USD15 bilion, Produk Pertanian AS bernilai USD4.5 bilion dan 50 jet Boeing, kebanyakannya model 777,” katanya.

Saham Boeing ditutup rendah iaitu 0.2 peratus selepas pengumuman tersebut.

Pentadbiran Trump berada di bawah tekanan bagi memuktamadkan beberapa perjanjian perdagangan selepas menjanjikan siri perjanjian kebelakangan ini. Ia berikutan beberapa negara berusaha mengadakan rundingan bersama Washington bagi mengelakkan pelan tarif Trump.

Namun begitu, setakat ini Trump hanya mendedahkan beberapa perjanjian lain bersama Britain dan Vietnam, selain satu persetujuan sementara bagi mengurangkan tarif balas daripada China.

Trump telah memperbaharui ancamannya bagi mengenakan tarif 32 peratus ke atas barangan Indonesia menerusi sepucuk surat kepada pimpinan negara berkenaan pada minggu lalu. Menerusi surat tersebut, kadar berkenaan dijangkakan berkuat kuasa pada 1 Ogos.

Kadar tarif lebih rendah yang diumumkan pada Selasa masih belum jelas tarikh kuat kuasa terhadap Indonesia. Malah, tempoh pelaksanaan pelbagai komitmen pembelian juga tidak diperincikan.

Menerusi media sosial, Trump menjelaskan bahawa perjanjian berkenaan dimuktamadkan selepas perbincangan bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang menjurus kepada barangan yang dihantar semula bagi mengelakkan tarif yang lebih tinggi akan tetap dikenakan kadar yang lebih berat.

Beliau turut memaklumkan bawah perjanjian lain sedang dirancang termasuk bersama India, manakala rundingan bersama Kesatuan Eropah masih diteruskan.

Bekas Timbalan Menteri Luar Negeri Indonesia, Dino Patti Djalal berkata, sumber dalaman kerajaan menunjukkan mereka berpuas hati dengan perjanjian baharu berkenaan.

Sumber: AFP

BACA: Trump Ugut Kenakan Tarif 100 Peratus Ke Atas Rusia Jika Tiada Perjanjian Ukraine Dalam 50 Hari

BACA: Trump Nyatakan Tidak Puas Hati Dengan Putin