Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

SARA RM100: PM Anwar Bidas Pembangkang, Pertahan Inisiatif Kerajaan

Hannah
Harga Petrol RM1.99
Gambar: BERNAMA

SARA RM100: PM Anwar Bidas Pembangkang, Pertahan Inisiatif Kerajaan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pemberian RM100 secara one-off melalui MyKad kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bukanlah satu perkara remeh, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah di kawasan luar bandar.

Menurut beliau, bantuan ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk meringankan beban rakyat, namun masih terdapat segelintir Ahli Parlimen pembangkang yang mempertikaikan jumlah tersebut tanpa memahami keseluruhan konteks yang diumumkan.

“Semalam saya umumkan beberapa langkah tambahan, tak apalah singgung, politik itu tak apa lah. RM100 sahaja, ya lah…kamu gaji RM20,000 sebulan, RM40,000 sebulan. RM100 tak ada apa-apa, tapi saya tahu kalau kita pergi ke kampung, ada. Ini tambahan. Seolah-olah yang dia bagi, kalau tengah dengar beberapa Ahli parlimen pembangkang di Parlimen, RM100 je? RM100 je, dia tak baca ke.

“Bila saya sebut rabun mata dia marah, baru ini tambahan dari RM13 bilion jadi RM15 bilion untuk tahun ini untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan Bulan Julai 2025 yang berlangsung di Putrajaya, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa langkah tersebut adalah sebahagian daripada pelbagai inisiatif kerajaan yang sedang dilaksanakan, termasuk pelanjutan tempoh perkhidmatan dalam Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) daripada 10 tahun kepada 18 tahun menjelang tahun depan.

STR dan SARA merupakan inisiatif utama Kerajaan Perpaduan dalam memastikan bantuan kewangan disalurkan secara menyeluruh dan berkesan kepada golongan sasar di seluruh negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menekankan bahawa penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter merupakan satu langkah penting demi kesejahteraan rakyat, selaras dengan harga minyak global semasa.

“Begitu juga dengan penurunan harga minyak, itu mesti saya buat lah. Walaupun masa kita bincang soal harga turun harga minyak, saya dah beritahu ada rasional semasa minyak di Arab Saudi 50 sen.

“Sekarang minyak di Arab Saudi RM1.99 or RM2. Walau bagaimanapun, kita turun juga dan kita katakan untuk orang asing, kena ikut harga pasaran lah. Itu kita akan tetapkan kemudian,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan pemberian bantuan RM100 sempena sambutan Hari Kebangsaan sebagai ikhtiar segera kerajaan bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

Bantuan ini dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2 bilion.

Beliau turut menjelaskan bahawa ini merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai diberikan kepada semua rakyat dewasa di Malaysia.

“Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya seperti Mydin, Lotus’s, Econsave dan 99 Speedmart serta kedai runcit di semua daerah seluruh negara,” kata beliau lagi dalam pengumuman semalam.

BACA: PM Anwar Mohon Maaf Kepada Rakyat Malaysia

BACA: 15 September 2025 Diisytihar Cuti Umum Tambahan

BACA: Kadar Tol Kekal, Kenaikan Di 10 Lebuh Raya Utama Ditangguhkan

Sumber: Astro Awani