Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sejarah Konflik Thailand-Kemboja, Ini Kronologi & Puncanya Sejak Ratusan Tahun

Sofea
sejarah konflik thailand kemboja
Kredit: AFP

Sejarah Konflik Thailand-Kemboja, Ini Kronologi & Puncanya Sejak Ratusan Tahun

Dunia sekali lagi terpaksa menyaksikan dua negara terlibat dalam konflik apabila Thailand dan Kemboja bertempur di sempadan pada Khamis. Kedua-dua negara saling berbalas serangan, dengan Kemboja melepaskan tembakan roket dan meriam serta Thailand melancarkan serangan udara.

Pertempuran yang berlaku berhampiran Kuil Ta Muen Thom, yang terletak di wilayah Surin, timur laut Thailand itu menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang awam terbunuh, lapor AFP.

Pasti ramai yang tertanya-tanya, mengapa kedua-dua negara itu bertelagah sehingga ke tahap ini? Apakah puncanya? Untuk pengetahuan, ini bukan pertempuran pertama antara Thailand dan Kemboja. Mereka mempunyai sejarah yang sangat panjang iaitu sejak ratusan tahun lalu.

Kredit: Str/AFP

Menerusi artikel kali ini, SK ingin berkongsi garis masa tentang konflik yang berlaku di antara Thailand dan Kemboja.

Pertelingkahan kedua-dua negara itu secara umumnya diketahui adalah disebabkan oleh pertikaian sempadan. Semuanya bermula apabila kewujudan peta pada tahun 1907 yang dicipta ketika era pemerintahan kolonial Perancis di Kemboja. Peta itu menjadi asas kepada tuntutan Kemboja ke atas bahagian tertentu sempadan.

Bagaimanapun, ketidakjelasan mengenai status peta itu membawa tafsiran yang bercanggah dan Thailand tentunya membantah tuntutan terbabit. Antara kawasan yang menjadi rebutan adalah kuil bersejarah yang berusia berabad lamanya.

Walaupun ada usaha untuk menyelesaikan pertikaian secara diplomatik, tetapi isu tersebut tidak pernah diselesaikan sepenuhnya. Pada 1962, Mahkamah Keadilan Antarabangsa turut campur tangan, namun ia masih berlarutan.

Menginjak ke abad 21, pertempuran tentera tercetus secara berselang sejak tahun 2008 . Kali terakhir ketegangan bertukar maut adalah pada tahun 2011, apabila pertempuran tertumpu pada kawasan sempadan hutan termasuk kuil purba yang telah dituntut oleh kedua-dua pihak.

Masing-masing menyalahkan antara satu sama lain kerana memulakan dan memanjangkan pertempuran.

Kedua-dua negara mengisytiharkan gencatan senjata selepas tujuh hari pertempuran membunuh sekurang-kurangnya 15 orang dan puluhan ribu orang awam kehilangan tempat tinggal.

Pada tahun yang sama, mahkamah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengarahkan kedua-dua negara untuk mengundurkan tentera dan mewujudkan zon demiliterisasi. Namun, mahkamah tidak dapat menentukan negara mana yang akan mengawal wilayah yang dipertikaikan itu.

BACA: Tentera Thailand, Kemboja Bertempur Di Sempadan

Seterusnya pertikaian semakin bertambah buruk sejak awal tahun 2025. Menerusi pertempuran yang berlaku pada 28 Mei lalu, seorang tentera Kemboja telah terbunuh. Ia menyemarakkan lagi ‘api’ perbalahan dan hubungan kedua-dua negara berada di titik terendah.

Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra cuba untuk menyelesaikan ketegangan itu dengan menghubungi ketua de facto Kemboja, Hun Sen, pada 15 Jun.

Pun begitu, tanpa diduga tindakan tersebut membawa kepada penggantungan Paetongtarn dari jawatannya. Keadaan itu berlaku selepas Hun Sen menyiarkan rakaman panggilan telefon antara mereka berdua di laman Facebook miliknya. Paetongtarn didakwa menggesa Hun Sen agar tidak mengendahkan tentera Thailand dan menawarkan untuk mengatur apa sahaja yang beliau mahu.

Ahli parlimen Thailand, sama ada dalam gabungan dan pembangkang mengecam tindakan Paetongtarn. Mereka berkata pemimpin itu seperti merendah-rendahkan tentera negara sendiri dan terlalu menggunakan nada hormat dengan pemimpin negara lain.

Susulan itu, Mahkamah Perlembagaan Thailand pada 1 Julai telah menggantung tugas Paetongtarn, selepas menerima petisyen yang dibawa oleh sekumpulan senator yang memohon agar Paetongtarn disingkirkan dari jawatannya.

Dua minggu selepas itu, iaitu pada 23 Julai, lima askar Thailand kehilangan kaki kanan akibat letupan periuk api di sempadan Thailand-Kemboja, berhampiran Chong An Ma, di wilayah timur laut Ubon Ratchathani.

Kerajaan Thailand menurunkan tahap hubungan diplomatik dengan Kemboja sebagai tindak balas terhadap kejadian itu. Malah, Thailand memanggil pulang Duta Besar di Kemboja dan meminta Duta Besar Kemboja pulang ke negara mereka.

Kredit: Tang Chhin Sothy/AFP

Ketegangan terus memuncak apabila tercetusnya pertempuran pada hari ini (24 Julai).

Adakan konflik ini akan menjadi perang skala penuh?

Ketika mata dunia tertumpu kepada kedua-dua negara ini, timbul persoalan sama ada pertempuran akan bertukar menjadi peperangan skala penuh. Pastinya masyarakat antarabangsa tidak mahu melihat orang awam yang tidak bersalah terus terkorban.

Reaksi kedua pemimpin negara mungkin boleh menjawab persoalan itu. Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai berkata pertikaian negaranya dengan Kemboja masih berada dalam keadaan ‘sensitif’ dan perlu ditangani dengan berhati-hati serta selaras dengan undang-undang antarabangsa, lapor BBC.

Kredit: Chanakarn Laosarakham/AFP

Dalam pada itu, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet pula menyatakan bahawa negaranya mahu menyelesaikan pertikaian tersebut secara aman, namun menegaskan bahawa mereka tiada pilihan selain untuk bertindak balas menggunakan kekuatan bersenjata terhadap pencerobohan bersenjata.

Melihat keadaan ini, koresponden BBC, Jonathan Head memberi amaran bahawa ketika ini kedua-dua negara dilihat kurang kepimpinan dan keyakinan untuk mengurangkan ketegangan yang sedang berlaku.

Sumber: New York Times, AFP, BBC