Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Gempa Kuat Di Rusia, Amaran Tsunami Dikeluarkan Di Pantai Pasifik Jepun

Sofea
gempa rusia tsunami jepun

Gempa Kuat Di Rusia, Amaran Tsunami Dikeluarkan Di Pantai Pasifik Jepun

Agensi cuaca Jepun pada Rabu mengeluarkan amaran tsunami sehingga tiga meter di pantai Pasifiknya selepas gempa bumi 8.7 magnitud melanda Semenanjung Kamchatka, Rusia.

“Nasihat tsunami telah dikeluarkan setakat 8.37 pagi pada 30 Julai,” kata Agensi Meteorologi Jepun menerusi laman X.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk berjaga-jaga dan tidak mendekati kawasan laut.

“Jangan masuk ke laut atau mendekati pantai sehingga amaran ditarik balik,” tegas agensi itu.

Menurut portal The Japan Times, para penduduk telah segera dipindahkan susulan amaran itu. Malah, lapangan terbang juga telah ditutup.

Agensi Meteorologi turut memberi amaran kepada orang ramai untuk terus bersiap sedia kerana gelombang ombak tsunami dijangka berlaku beberapa kali.

“Tsunami boleh menyerang berulang kali dalam jangka masa yang panjang. Ombak yang datang selepas yang pertama mungkin lebih besar, jadi adalah penting untuk meneruskan pemindahan sehingga amaran atau nasihat tsunami ditarik balik,” katanya,

BACA: Detik-Detik Selepas Ombak Tsunami Banjiri Kawasan Di Rusia

Menurut agensi itu, setiap gelombang mempunyai tempoh yang sangat panjang, yang bermaksud ia boleh mengambil masa kira-kira sejam untuk satu kitaran gelombang berlalu.

Risiko gelombang tsunami yang tinggi boleh berterusan sekurang-kurangnya sehari.

Ujar agensi itu lagi, sekiranya tsunami bertembung dengan air pasang besar, kesan gabungan itu boleh menyebabkan paras laut meningkat lebih jauh melebihi paras air pasang semasa. Susulan itu, orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada.

Sementara itu, Perdana Menteri, Shigeru Ishiba, menggesa penduduk di kawasan yang terjejas untuk berpindah ke tempat yang lebih tinggi atau lokasi lain yang lebih selamat. Beliau juga mengarahkan pihak berkuasa untuk memberikan maklumat yang tepat kepada orang ramai dan melaksanakan langkah-langkah yang perlu dengan penyelarasan bersama majlis perbandaran tempatan.

Kerajaan juga telah meminta pihak berkuasa memindahkan mangsa dari pusat perlindungan sementara ke kemudahan yang lebih lengkap dan mengambil langkah perlu untuk membantu mereka daripada mengalami strok haba.

Menurut laporan tempatan, pihak berkuasa mengeluarkan arahan pemindahan untuk 1.9 juta penduduk di kawasan pantai di seluruh negara.

Pekan Urakawa di Hokkaido, mengeluarkan amaran tahap 5, yang tertinggi, kepada 10,463 orang dalam hampir 5,000 isi rumah, memberi amaran kepada mereka tentang bahaya yang akan berlaku.

Kredit: AFP, The Japan Times