Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

UK Bakal Iktiraf Negara Palestin September Ini Jika Israel Enggan Setuju Gencatan Senjata
LONDON — United Kingdom akan secara rasmi mengiktiraf negara Palestin pada bulan September sekiranya Israel gagal mengambil langkah-langkah ke arah penyelesaian dua negara serta menamatkan krisis kemanusiaan di Gaza, lapor AFP.
Pengumuman itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dalam satu ucapan khas dari Downing Street pada Selasa.
Menurut Starmer, langkah pengiktirafan itu akan dilaksanakan sekiranya Israel tidak bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata dan tidak menunjukkan komitmen terhadap perdamaian jangka panjang menjelang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September nanti.
“Saya telah nyatakan sejak dahulu bahawa Britain akan mengiktiraf negara Palestin sebagai usaha kepada proses damai, dan kami akan bertindak pada saat yang memberi kesan maksimum kepada penyelesaian dua negara,” kata Starmer.
Beliau menambah bahawa situasi di Gaza yang disifatkan sebagai tidak boleh diterima dan perlu segera ditamatkan melalui gencatan senjata serta usaha memperbaharui harapan kepada penyelesaian dua negara yang adil dan mampan.
Langkah bersejarah itu turut disusuli oleh Perancis, yang sebelum ini mengumumkan hasrat untuk mengiktiraf Palestin semasa Perhimpunan Agung PBB pada 23 September.
Jika direalisasikan, Britain dan Perancis bakal menjadi negara G7 pertama yang mengiktiraf kenegaraan Palestin.
Dalam pada itu, Starmer turut menggariskan beberapa tuntutan terhadap kumpulan Hamas, termasuk desakan agar semua tebusan dibebaskan serta menamatkan penglibatan kumpulan tersebut dalam pentadbiran Gaza.
Israel dalam satu kenyataan balas pantas menolak tindakan UK itu, dengan mendakwa ia sebagai ‘ganjaran’ kepada tindakan Hamas dan akan mengganggu usaha mencapai gencatan senjata.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai hukuman terhadap mangsa serangan Hamas.
Jurucakap Downing Street memaklumkan bahawa Starmer telah menghubungi Netanyahu sebelum pengumuman dibuat dan menggesa Israel agar menarik balik semua sekatan terhadap akses bantuan kemanusiaan.
Beliau turut berhubung dengan Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas, yang menyambut baik pengumuman itu.
Sehingga kini, lebih 140 negara di dunia telah mengiktiraf negara Palestin.
Sumber: AFP via France24