Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ratusan Bekas Pegawai Keselamatan Israel Tandatangan Surat Terbuka Untuk Trump
Ratusan bekas pegawai keselamatan Israel, termasuk ketua-ketua agensi perisikan yang telah bersara, menggesa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump supaya menekan kerajaan Israel untuk menamatkan perang di Gaza.
Dalam satu surat terbuka yang dikongsi kepada media seperti dilapor AFP, mereka menyatakan bahawa matlamat ketenteraan terhadap Hamas telah pun tercapai dan Hamas kini tidak lagi menjadi ancaman strategik kepada Israel.
“Pada awalnya, perang ini adalah perang yang adil, perang mempertahankan diri. Namun apabila semua objektif ketenteraan telah dicapai, perang ini tidak lagi adil,” kata Ami Ayalon, bekas pengarah perkhidmatan keselamatan Shin Bet.
Perang tanpa henti ini, menurut Ayalon dalam satu video yang disertakan bersama surat tersebut, sedang menyebabkan Israel kehilangan keselamatan dan identitinya.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Israel semakin ditekan oleh masyarakat antarabangsa supaya bersetuju dengan gencatan senjata yang akan membolehkan tebusan Israel dibebaskan dari Gaza dan agensi PBB menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Namun, sebahagian pemimpin dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkeras mahu tentera Israel meneruskan operasi dan menguasai Gaza secara keseluruhan atau sebahagiannya.
Jelas AFP lagi, ia ditandatangani oleh termasuk tiga bekas ketua Mossad serta lima bekas ketua Shin Bet dan tiga bekas Ketua Staf Tentera, termasuk bekas Perdana Menteri Ehud Barak dan bekas Menteri Pertahanan Moshe Yaalon.
Surat itu menegaskan bahawa tentera Israel telah lama mencapai dua matlamat utama yang dicapai melalui kekerasan, iaitu membongkar struktur ketenteraan dan pemerintahan Hamas.
“Matlamat ketiga, dan yang paling penting, hanya boleh dicapai melalui perjanjian ialah membawa pulang semua tebusan.
“Memburu baki pemimpin kanan Hamas boleh dilakukan kemudian,” tambah surat tersebut.
Dalam surat itu juga, para bekas pegawai memberitahu Trump bahawa beliau mempunyai kredibiliti di mata majoriti rakyat Israel.
Mereka juga percaya Trump boleh memberi tekanan kepada Netanyahu untuk menamatkan perang serta membawa pulang para tebusan.
Tidak hanya itu, selepas gencatan senjata, mereka turut berhujah bahawa Trump boleh memimpin satu pakatan serantau untuk menyokong Pihak Berkuasa Palestin yang telah diperbaharui bagi mengambil alih pentadbiran Gaza sebagai alternatif kepada pemerintahan Hamas.
BACA: Krisis Kebuluran Di Gaza Semakin Kritikal, Lagi 10 Kematian Dicatat Dalam Tempoh 24 Jam
Sumber: AFP