
Kertas Siasatan Kes Zara Qairina Dirujuk Semula Ke Pejabat Peguam Negara
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasatan berhubung kes Zara Qairina akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara pada 18 Ogos 2025 (esok).
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar Muthuvelu, tindakan itu dibuat untuk nasihat dan arahan setelah tindakan siastaan lanjut dilaksanakan oleh pasukan khas (task force) JSJ.
“Setakat ini, seramai 195 orang saksi telah dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah melibatkan saksi pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan, ibu bapa dan lain-lain saksi yang material kepada siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mengulas lanjut, beliau juga menjelaskan siasatan polis memberi tumpuan kepada dua elemen utama, iaitu siasatan dari aspek inkues dan siasatan dari aspek perlakuan jenayah lain seperti buli serta penularan berita palsu.
Dalam pada itu, PDRM menyeru masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menimbulkan sentimen yang boleh mengganggu keharmonian.
PDRM juga memberi jaminan bahawa proses siasatan ini dilaksanakan secara menyeluruh dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak.


BACA: Kronologi Kes Zara Qairina Mahathir
BACA: Kes Zara Qairina: Bukit Aman Ambil Alih Siasatan, Pasukan Petugas Khas Dihantar Ke Sabah
BACA: Zara Qairina: KPM Tempatkan Sementara Pengetua, PK HEM & Semua Warden Di JPN Sabah
Sumber: PDRM