
Seram, Anggota NOAA Kongsi Rakaman Mata Puting Beliung Dalam Taufan Erin
Taufan Erin dilapor meningkat dengan pantas menjadi ribut Kategori 5 yang disifatkan “berbahaya”, sekaligus membawa hujan lebat membadai pulau-pulau Caribbean pada Sabtu lalu.
Menurut AFP, amaran turut dikeluarkan kepada penduduk setempat mengenai kemungkinan banjir kilat dan tanah runtuh.
Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC) dalam satu kenyataan memaklumkan, ia merupakan taufan pertama bagi musim Atlantik yang dijangka amat kencang pada tahun ini.
Dalam pada itu, taufan Erin turut diramal membawa hujan dan angin kencang ke pulau-pulau Caribbean namun tidak dijangka melanda daratan.
Ribut terbabit dilaporkan membawa angin berkelajuan maksimum 241 kilometer sejam. Lokasi taufan ketika itu adalah kira-kira 257 kilometer (km) ke barat laut Anguilla di Kepulauan Leeward utara, yang merangkumi Kepulauan Virgin AS dan British.
Manakala amaran ribut tropika turut dikeluarkan bagi St Martin, St Barthelemy, Sint Maarten serta Kepulauan Turks and Caicos.
“Taufan Erin kini menjadi taufan Kategori 5, malah meningkat ke tahap ribut paling berbahaya dengan kelajuan angin melebihi 252.6 kilometer sejam,” kata NHC menerusi AFP.
Dalam pada itu, @nbcnews baru-baru ini telah berkongsi satu rakaman di dalam mata taufan berkenaan yang kelihatan tenang dan kosong walaupun sudah memasuki ribut Kategori 5.
Difahamkan, video berkenaan diambil dari sebuah pesawat oleh Pentadbiran Kebangsaan Lautan dan Atmosfera (NOAA).
Bagaimanapun, taufan yang didalam kelihatan tenang itu sebenarnya mempunyai kelajuan yang mampu memusnahkan sebahagian kawasan penempatan.
Menerusi video berdurasi 20 saat itu, awan gelap jelas kelihatan di sekeliling pesawat, dengan lubang besar dikenali sebagai mata puting beliung kelihatan di bahagian atas.
Bagi anggota NOAA yang terlibat, walaupun merasa kagum dengan apa yang dilihat namun pada masa yang sama ia juga adalah satu pengalaman yang menakutkan bagi mereka.
Mendapat 4 juta tontonan setakat ini
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok seakan tidak percaya apabila melihat mata puting beliung yang nampak sangat tenang.
Dalam masa sama, ada juga yang tertanya-tanya bagaimana kapal NOAA boleh masuk dan keluar dari puting beliung ini.
Sumber: @nbcnews via TikTok