Utama

Tip

Trivia

Berita

Berita

Tip

Sukan

Tip

Trivia

Berita

Berita

Tip

Sukan

Pelakon Filem Superman, Terence Stamp Meninggal Dunia
Pelakon terkenal Britain yang pernah membintangi watak penjahat dalam sekuel Superman, Terence Stamp dilapor meninggal dunia pada usia 87 tahun.
Menurut portal AFP, berita dukacita ini dilaporkan media United Kingdom menerusi kenyataan keluarganya pada Ahad.
Selain membintangi sekuel Superman, Stamp juga terkenal sebagai watak seorang wanita transgender dalam filem ikonik “The Adventures of Priscilla, Queen of the Desert”.
“Beliau meninggalkan legasi karya luar biasa, sama ada sebagai pelakon mahupun penulis, yang akan terus memberi inspirasi dan menyentuh hati ramai orang untuk tahun-tahun mendatang,” kata keluarga mendiang seperti yang dilaporkan AFP.
Membintangi lebih 60 filem sepanjang kerjayanya
Daripada filem Theorem arahan Pier Paolo Pasolini hingga Star Wars arahan George Lucas, ikon era ‘swinging sixties’ ini telah memikat penonton sama ada dalam filem “arthouse” mahupun Hollywood.
Selain itu, Stamp turut berjaya mengembangkan bakatnya dengan membintangi lebih 60 filem merentasi pelbagai genre sepanjang kerjayanya.
Dilahirkan di London pada 22 Julai 1938 dalam keluarga kelas pekerja, beliau meraih kejayaan pertama menerusi watak pelayar muda dalam filem Billy Budd arahan Peter Ustinov.
Lakonan Stamp turut melayakkannya dicalonkan untuk Oscar serta memenangi Golden Globe bagi Pelakon Baru Terbaik.
Menurut laporan AFP, kemunculannya sebagai General Zod dalam Superman (1978) dan Superman II (1980) menjadikan beliau pelakon ikonik untuk sekuel Superman.
Selain itu, beliau terus mengembangkan kerjaya yang pelbagai dan beralih antara produksi bajet besar seperti “Star Wars”. Stamp juga terlibat dalam filem-filem bebas seperti “The Hit” arahan Stephen Frears serta drama British “Poor Cow” arahan Ken Loach.
Sumber: AFP