Pelakon veteran India, Nana Patekar, yang dikenali menerusi lakonan penuh penghayatan serta gaya penyampaian dialog tersendiri, meninggal dunia pada usia 75 tahun di Goa, menurut anaknya, Malhar, lapor BBC.
Nana Patekar meninggal dunia
Patekar merupakan antara wajah paling dikenali dalam industri perfileman India dan pernah memenangi tiga Anugerah Filem Kebangsaan.
Beliau terkenal menerusi watak-watak kompleks dan sering kali penuh emosi, selain menjadi tokoh penting dalam industri perfileman serta teater berbahasa Marathi.
Patekar dikejarkan ke hospital selepas ditemukan tidak sedarkan diri di kediamannya di Goa pada awal pagi Khamis.
“Walaupun bantuan CPR diberikan secara berterusan selama 45 minit, beliau tidak dapat diselamatkan,” kata Dr Shekhar Salkar dari Manipal Hospital di Goa kepada agensi berita ANI.
Pada Khamis, Perdana Menteri India Narendra Modi mengetuai ucapan penghormatan terhadap pelakon itu dengan memuji kepelbagaian bakat serta keperibadiannya yang lantang bersuara.
Modi berkata watak-watak yang dibawakan Patekar akan “kekal dalam ingatan generasi”, selain menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar kepada dunia seni.
Bintang Bollywood Akshay Kumar, yang pernah bergandingan dengan Patekar dalam filem komedi Welcome, turut mengenang mendiang sebagai pelakon yang jarang ditemui, dengan suara, penghayatan dan kejujurannya mampu menarik perhatian penonton.
Lebih empat dekad dalam industri filem
Patekar membuat kemunculan sulung menerusi filem Gaman pada 1978 dan terus membawakan watak-watak kecil dalam beberapa filem.
Namun, kehebatan lakonannya mula mendapat perhatian apabila beliau membintangi Parinda pada 1989, sekali gus menjadikannya antara nama yang dikenali di seluruh India.
Menerusi watak gangster bernama Anna dalam filem itu, Patekar memenangi Anugerah Filem Kebangsaan pertamanya serta Anugerah Filmfare.
Selepas kejayaan tersebut, beliau terus membawakan pelbagai watak yang dikenang ramai sepanjang era 1990-an, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian bakat dan penguasaannya dalam seni lakonan.
Lakonannya sebagai Major Chauhan dalam filem Prahaar, yang turut diarahkan olehnya, mendapat pujian.
Beliau turut menerima pengiktirafan menerusi watak dalam Tirangaa serta watak Pratap Narayan Tilak dalam Krantiveer.
Ketika pengkritik menyangka watak lantang dan penuh emosi menjadi kekuatan utamanya, Patekar membuktikan sebaliknya menerusi persembahannya dalam Khamoshi sebagai watak yang tidak boleh mendengar atau bercakap.
Filem arahan Prakash Jha, Rajneeti pada 2010 pula menampilkan sisi berbeza Patekar apabila beliau membawakan watak seorang ahli politik yang bijak dan penuh muslihat.
Sepanjang kerjayanya, Patekar membawakan pelbagai watak yang berbeza, termasuk gangster terkenal dan anggota polis, dengan sama baik.
Beliau turut terlibat di belakang tabir sebagai pengarah dan penulis.
Tiga Anugerah Filem Kebangsaan yang dimenanginya menerusi Parinda, Krantiveer dan Agni Sakshi menjadi bukti kepada kepelbagaian serta pencapaiannya dalam dunia lakonan.
Aktif dalam teater dan kebajikan petani
Patekar turut menjadi tokoh berpengaruh dalam dunia teater Marathi dan Hindi.
Sebelum menceburi bidang filem, beliau aktif dalam teater, yang menjadi medan untuk mengembangkan gaya penyampaian dialog yang tersendiri serta penghayatan mendalam terhadap watak.
Antara pementasan terkenal yang pernah disertainya ialah Purush dan Hamidabai Chi Kothi.
Walaupun berjaya dalam industri filem, Patekar terus aktif dalam dunia teater sepanjang kerjayanya.
Beliau turut dikenali kerana aktivisme serta kelantangannya mengkritik kerajaan dan dasar yang diperkenalkan.
Isu berkaitan kebajikan petani khususnya dekat dengan hatinya.
Pada 2015, beliau bersama pelakon Makarand Anaspure menubuhkan Naam Foundation yang menjalankan usaha berkaitan kebajikan petani dan pemuliharaan sumber air di Maharashtra.
Pernah terpalit kontroversi
Bagaimanapun, perjalanan kerjaya Patekar tidak terlepas daripada kontroversi.
Pada 2018, pelakon Tanushree Dutta membuat dakwaan gangguan seksual terhadap Patekar berhubung kejadian yang didakwa berlaku di set penggambaran kira-kira sedekad sebelumnya.
Dakwaan tersebut turut menjadi antara pencetus kepada gerakan #MeToo di India.
Patekar menafikan dakwaan berkenaan. Pada 2019, beliau dibebaskan daripada pertuduhan selepas pihak polis menyatakan tidak menemui bukti yang mencukupi terhadapnya.

