Penyanyi R&B yang pernah dicalonkan untuk Anugerah Grammy, Freddie Jackson, yang terkenal menerusi lagu popular era 1980-an seperti Rock Me Tonight (For Old Times Sake) dan You Are My Lady, meninggal dunia pada usia 70 tahun.
Keluarganya mengesahkan berita itu menerusi kenyataan yang dikongsikan di akaun Instagram rasmi Jackson.
Freddie Jackson meninggal dunia
Beliau meninggal dunia pada Isnin, tiga hari selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-70. Punca kematian tidak didedahkan.
“Freddie bukan sekadar memiliki suara yang legenda. Beliau seorang yang baik hati dan pemurah, yang menyayangi peminat, keluarga, rakan-rakan serta muziknya sepenuh hati.
“Selama beberapa dekad, beliau menghadiahkan kita lagu-lagu yang menjadi runut bunyi kepada kisah cinta, sambutan dan kenangan paling berharga. Pemberian itu akan kekal selamanya,” menurut kenyataan tersebut.
Kenyataan itu turut menyampaikan penghargaan kepada semua yang pernah menyanyi bersama, menari atau tersentuh dengan persembahan Jackson.
“Terima kasih kepada semua yang pernah menyanyi bersama, menari atau merasai sesuatu ketika Freddie berada di pentas. Anda semua adalah keluarganya dan beliau sentiasa membawa kasih sayang itu bersamanya,” menurut kenyataan berkenaan.
Butiran mengenai urusan pengebumian akan diumumkan dalam beberapa hari akan datang.
Kerjaya bermula di Harlem
Jackson dilahirkan dan dibesarkan di Harlem, New York, tempat beliau mengenali muzik soul serta menyanyi muzik gospel di White Rock Baptist Church.
Beliau memulakan kerjaya dalam dunia kelab malam di New York sebelum mengembangkan kerjayanya ke kawasan Barat Amerika Syarikat bersama kumpulan Mystic Merlin pada penghujung 1970-an.
Jackson kemudian kembali ke New York dan menerbitkan album sulungnya, Rock Me Tonight, pada 1985.
Suara uniknya menjadi antara kekuatan utama dalam kerjaya muziknya. Album itu kemudiannya menerima sijil platinum daripada Recording Industry Association of America (RIAA) dan membawa kepada dua pencalonan Grammy buat Jackson.
Beliau dicalonkan dalam kategori Artis Baharu Terbaik serta Persembahan Vokal R&B Lelaki Terbaik menerusi lagu You Are My Lady.
Album Rock Me Tonight turut melonjakkan Jackson sebagai bintang baharu R&B, sekali gus menjadikannya antara penyanyi yang kerap menghiasi carta Billboard dan radio kontemporari urban sepanjang era 1980-an hingga awal 1990-an.
Album keduanya, Just Like the First Time, yang diterbitkan pada 1987, turut menerima sijil platinum.
Dedah menghidap penyakit buah pinggang
Pada 2024, Jackson mendedahkan bahawa beliau telah didiagnosis menghidap penyakit buah pinggang menerusi satu video yang dikongsikan di media sosial.
“Perjalanan ini penuh dengan cabaran, namun saya memilih untuk menghadapinya dengan keterbukaan dan ketabahan.
“Penting bagi saya untuk berkongsi perkara ini dengan anda semua, bukan sekadar sebagai sebahagian daripada kisah peribadi saya, tetapi juga sebagai usaha untuk membawa perubahan positif,” katanya dalam video berkenaan.
Ketika itu, Jackson turut mendedahkan bahawa beliau bekerjasama dengan National Kidney Foundation bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyakit berkenaan.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), lebih satu daripada tujuh orang dewasa di Amerika Syarikat menghidap penyakit buah pinggang kronik, manakala sehingga sembilan daripada 10 individu tidak menyedari mereka menghidap penyakit tersebut.

