Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Pelakon Suara Optimus Prime, Peter Cullen Meninggal Dunia

Peter Cullen Meninggal
Kredit: AFP

Pelakon suara Optimus Prime dalam francais “Transformers”, Peter Cullen, dilaporkan telah meninggal dunia.

Ejen pelakon suara legenda itu memaklumkan kepada TMZ bahawa Peter meninggal dunia pada Rabu di kediamannya di Los Angeles.

Bagaimanapun, punca kematian pelakon berusia 85 tahun masih belum diketahui.

“Peter Cullen meninggal dunia dengan tenang, dikelilingi keluarga tercinta serta sentiasa berada dalam ingatan rakan-rakan dan peminatnya yang tidak terhitung jumlahnya di seluruh dunia.

“Keluarganya meminta agar legasi luar biasanya dihormati dengan berbakti kepada masyarakat serta memimpin orang lain dengan penuh belas ihsan, integriti dan kesetiaan. Dan sentiasa ingat, ‘jadilah cukup kuat untuk bersikap lembut',” kata keluarga mendiang dalam kenyataan kepada TMZ.

Peter merupakan pengisi suara Optimus Prime, pemimpin Autobots, dalam siri animasi televisyen asal “Transformers” pada era 1980-an.

Beliau kemudian kembali membawakan watak itu dalam siri filem “Transformers” arahan Michael Bay.

Dalam filem “Transformers” pertama, Peter turut menyampaikan ucapan ikonik sebagai Optimus Prime pada babak akhir.

Beliau juga dikenali sebagai pengisi suara Predator dalam filem “Predator” pada 1987.

Selain itu, beliau pernah mengisi suara Eeyore dalam “Winnie the Pooh”, Monterey Jack dalam “Chip ’n Dale Rescue Rangers” serta KARR dalam “Knight Rider”, selain banyak lagi watak lain.

Peter juga pernah menjadi pelakon suara Mario dalam siri animasi asal “Donkey Kong” pada era 1980-an.

Intipati
  • Peter Cullen, suara Optimus Prime dalam “Transformers”, dilaporkan telah meninggal dunia.
  • Ejen pelakon suara itu memaklumkan TMZ bahawa beliau meninggal dunia pada Rabu.
  • Peter dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Los Angeles; puncanya belum diketahui.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan