Penyanyi legenda Amerika Syarikat, Dolly Parton meninggal dunia pada usia 80 tahun, lapor AFP.
Berita kematian bintang muzik country dari Tennessee itu diumumkan oleh keluarganya pada Selasa menerusi hantaran di media sosial.
Keluarga tidak mendedahkan punca kematian Dolly, namun penyanyi itu sebelum ini pernah berkongsi mengenai masalah kesihatan yang dialaminya kebelakangan ini.
Upacara pengebumian mendiang akan diadakan secara tertutup.
Dolly Parton meninggal
Sementara itu, berita kematian Dolly turut mencetuskan detik perpaduan yang jarang berlaku di Amerika Syarikat ketika negara itu sering berdepan perpecahan pendapat berkaitan pentadbiran Donald Trump, perang terhadap Iran dan pelbagai isu budaya.
Trump mengarahkan bendera Amerika Syarikat dikibarkan separuh tiang di seluruh negara selama seminggu, sambil menyifatkan pemergian Dolly sebagai kehilangan besar buat jutaan orang.

“Tidak pernah ada sesiapa sepertinya dan tidak akan ada lagi,” tulis Trump di platform Truth Social.
Penyanyi yang memenangi pelbagai anugerah dan terkenal dengan gaya berkilauan itu telah membuka pintu kepada generasi penyanyi, penulis lagu, pemuzik dan mereka yang mengejar impian daripada pelbagai latar belakang.
Dilahirkan pada 1946 di kawasan luar bandar Tennessee, Dolly berhijrah ke Nashville, pusat muzik country Amerika Syarikat, sebaik sahaja tamat sekolah menengah.
Menjelang 1967 ketika berusia 21 tahun, beliau sudah menjadi antara figura paling dikenali dalam industri muzik Amerika selepas menyertai rancangan televisyen muzik country kendalian Porter Wagoner yang disiarkan ke jutaan rumah di seluruh negara.
Sepanjang kerjaya produktif yang merentasi enam dekad, mendiang menghasilkan kira-kira 3,000 lagu.
Antaranya termasuk “Jolene”, “Coat of Many Colors” dan balada ikonik “I Will Always Love You”, yang kemudiannya mencipta kejayaan antarabangsa menerusi nyanyian Whitney Houston.
Dengan 49 album studio serta lebih 100 album kompilasi dan kolaborasi, beliau mendapat gelaran “Ratu Muzik Country”.
Dolly juga seolah-olah mencipta formula tersendiri tentang bagaimana seorang wanita boleh menguasai industri muzik yang didominasi lelaki.
Beliau akhirnya menjadi antara figura paling disayangi di Amerika Syarikat, dengan lagu-lagunya dinyanyikan semula oleh ramai artis termasuk Shania Twain dan Sinead O’Connor.

