Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu “Total Eclipse of the Heart”, Bonnie Tyler meninggal dunia pada usia 75 tahun.
Memetik laporan AFP, Tyler menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Portugal.
Berita duka itu diumumkan oleh keluarganya menerusi Facebook pada Khamis.
Mereka dengan rasa sedih mengumumkan bahawa Tyler meninggal dunia secara mengejut akibat penyakit yang sedang dirawatnya.
Beliau sebelum ini dirawat di sebuah hospital di Faro, Portugal iaitu tempat beliau menjalani pembedahan usus kecemasan pada Mei.
Dengan suara garau yang tersendiri, rambut perang mengembang dan celak hitam, Tyler dikenali sebagai ratu balada bertenaga era 1980-an.
Dilahirkan sebagai Gaynor Hopkins di bandar Neath, Wales pada 1951, Tyler membesar bersama lima adik-beradiknya.
Ketika meninggalkan sekolah pada usia 16 tahun, beliau tidak pernah membayangkan kejayaan besar yang bakal diraihnya.

“Perkara terbaik yang saya lakukan ialah ‘Total Eclipse of the Heart’. Bagaimana mungkin kita boleh bayangkan lagu itu masih begitu besar hingga hari ini, malah orang yang belum lahir ketika itu pun menyanyikannya di karaoke?” katanya kepada Daily Telegraph pada 2025.
Beliau berasal daripada latar belakang sederhana. Bapanya bekerja di lombong arang batu, manakala ibunya seorang suri rumah.
Tyler berkata beliau mewarisi bakat nyanyiannya daripada ibunya.
“Ibu saya mempunyai sebuah radiogram dan banyak rekod 78 rpm. Dia akan melakukan kerja rumah sambil menyanyi sekuat hati dengan tingkap terbuka.
"Orang ramai selalu berdiri di luar untuk mendengar nyanyiannya kerana dia sangat luar biasa,” katanya kepada Telegraph.
Sementara itu, Downing Street memaklumkan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, sedih mendengar berita kematian Tyler, sambil menyifatkannya sebagai antara artis rakaman terhebat Britain”yang muziknya terus menyentuh kehidupan ramai orang.
Penyanyi Kanada, Bryan Adams, pula antara bintang terawal yang memberi penghormatan dengan menulis di X bahawa Tyler memiliki suara yang begitu hebat dan berterima kasih kepadanya atas versi indah bagi sebuah lagu yang pernah ditulis bersama olehnya.