Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kes Zara Qairina: Lima Individu Yang Didakwa Tidak Boleh Didedahkan Identiti – SUHAKAM
KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa orang awam terutamanya pihak media agar memastikan hak kanak-kanak dilindungi sepenuhnya dalam prosiding melibatkan kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Menurut SUHAKAM dalam kenyataan tersebut, pihaknya menggesa agar pihak yang terlibat untuk melaksanakan tanggungjawab dengan mematuhi beberapa perkara berikut;
“Kanak-kanak berhak mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, , termasuk sokongan berasaskan trauma, khidmat perundangan dan layanan yang adil.
“Identiti mereka tidak boleh didedahkan secara langsung atau tidak langsung. Nama, gambar, sek0lah atau sebarang maklumat yang boleh membawa kepada pengenalan diri mereka tidak boleh didedahkan kepada umum. Seksyen 15 Akta 611 tersebut memperuntukkan kesalahan boleh dihukum bagi mana-mana pihak yang menerbitkan sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding mahkamah. Hukuman termasuk denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya.
“Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah mahkamah tertutup di bawah Seksyen 14 akta 611. Hanya pihak yang terlibat secara langsung dibenarkan hadir. Privasi kanak-kanak mesti dihormati,” maklum kenyataan itu.
Tambah suruhanjaya itu, fokus utamanya adalah untuk mencegah daripada berlakunya stigma terhadap kanak-kanak yang terlibat.
“Platform media sosial seperti Facebook, Instagram, dan TikTok digesa untuk mengemaskini dasar dalaman serta piawaian komuniti mereka bagi mengenal pasti dan memadam secara proaktif apa-apa kandungan yang melanggar Seksyen 15 Akta 611.
“Sebarang kandungan yang diterbitkan dan boleh mengenal pasti kanak-kanak berpotensi menambah mudarat kepada mereka, sama ada secara tidak sengaja atau berniat jahat.
“Untuk mengambil tindakan menurunkan kandungan hanya selepas menerima permohonan mungkin membolehkan bahan yang menyalahi undang-undang dan berbahaya tersebar secara meluas, sekali gus menggagalkan tujuan perlindungan undang-undang .
“Kegagalan untuk bertindak segera boleh menyebabkan mudarat kepada kanak-kanak dan boleh dianggap bersubahat dalam pendedahan yang menyalahi undang-undang.
“Keadilan perlu dilaksanakan mengikut prinsip hak kanak-kanak dan kedaulatan undang-undang,” maklum kenyataan itu lagi.
Sumber: SUHAKAM