MyDigital ID Wajib Digunakan Sebagai Log Masuk Tunggal Bagi MyJPJ & MyBayar PDRM
PUTRAJAYA, 20 Ogos 2025 – Orang ramai disaran mendaftar MyDigital ID dengan segera bagi memastikan akses lancar kepada dua platform utama kerajaan apabila kaedah log masuk tunggal (Single Login) mula dikuatkuasakan sepenuhnya dalam masa terdekat.
Dua platform berkenaan ialah MyJPJ dan MyBayar PDRM. Melalui MyJPJ, pengguna boleh melakukan semakan kelayakan Program Khas Peralihan Kelas B, permohonan serta pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM), pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), semakan mata demerit, status senarai hitam, saman, pembayaran saman (kecuali kes senarai hitam), dan e-Aduan. Sementara itu, MyBayar PDRM pula membolehkan semakan dan pembayaran saman trafik.
Buat masa ini, kedua-dua platform masih membenarkan pengguna log masuk menggunakan kata laluan sedia ada atau MyDigital ID. Namun, apabila pelaksanaan log masuk tunggal bermula, hanya MyDigital ID akan digunakan. Bagi warganegara asing yang menggunakan MyBayar PDRM, kaedah log masuk sedia ada akan dikekalkan.
Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID, Nik Hisham Nik Ibrahim berkata, penggunaan MyDigital ID sebagai log masuk tunggal menjanjikan satu era baharu pengesahan identiti digital yang lebih mudah, selamat, dan telus.

“MyDigital ID mengesahkan identiti pengguna melalui pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tanpa menyimpan sebarang data peribadi. Ia meningkatkan keselamatan transaksi digital, selain memberi pengalaman yang lancar dan dipercayai tanpa perlu mengingati pelbagai kata laluan,” jelas beliau.
Bagi meningkatkan kemudahan pengguna, MyDigital ID turut memperkenalkan ciri baharu iaitu pengesahan biometrik tempatan. Melalui ciri ini, pengguna boleh log masuk dengan lebih pantas dan selamat menggunakan cap jari atau pengecaman wajah pada peranti masing-masing. Fungsi tersebut boleh diaktifkan selepas mengemas kini aplikasi MyDigital ID ke versi terbaharu.
Setakat ini, lebih 3 juta pengguna telah berdaftar dengan MyDigital ID, dengan lebih 45 platform kerajaan dan swasta telah diintegrasikan dengan sistem tersebut.