Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Program Ziarah Kasih Simpan SSPN Bantu Pelajar Melanjutkan Pengajian Ke IPG

syafiq halim
Ziarah Kasih Simpan SSPN

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa prihatin dengan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kebajikan pelajar. Melalui Program Ziarah Kasih Simpan SSPN, PTPTN telah menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada saudara Ahmad Fadli bin Baharudin di kediaman beliau di Taman Gasing, Jejawi, Perlis. Program berkonsepkan ziarah dan ramah mesra ini merupakan salah satu inisiatif yang diadakan bertujuan untuk menyantuni golongan asnaf terutamanya komuniti pelajar dalam memberi motivasi, pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam mengubah kehidupan diri dan keluarga.

Melalui Program Ziarah Kasih Simpan SSPN yang telah diadakan pada 2 Ogos 2025 lalu, PTPTN telah menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada salah seorang pelajar asnaf yang telah melanjutkan pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar, Negeri Sembilan. Sesi penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN. Turut hadir YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN dan Pengurusan PTPTN.

Saudara Ahmad Fadli bin Baharudin berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dengan situasi ibu yang sedang terlantar sakit serta tidak mampu untuk bekerja dan bapanya telah meninggal dunia. Meskipun begitu, semangat dan dedikasi Ahmad Fadli untuk berjaya dalam hidup tidak pernah pudar. Beliau telah mendapat keputusan cemerlang di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lalu dengan memperoleh 7A dan akan melanjutkan pengajian di IPG Kampus Raja Melewar.

Melihat kepada keperluan bantuan yang diperlukan oleh keluarga ini, PTPTN melalui Program Ziarah Kasih Simpan SSPN telah menyalurkan sumbangan wakalah zakat berjumlah RM2,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime kepada saudara Ahmad Fadli bagi membantu meringankan beban pelajar untuk menampung kos pengajian kelak. Selain itu, Kit Kasih PTPTN berupa sumbangan keperluan harian turut disampaikan. Sumbangan ini diharap dapat memberi peluang kepada pelajar untuk terus fokus kepada pelajaran serta mencapai cita-cita yang diimpikan.

YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (dua dari kanan) menyantunipenerima sumbangan dan ibunya semasa Program Ziarah Kasih Simpan SSPN.

Menurut YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN, “Kami amat berbesar hati dapat membantu saudara Ahmad Fadli dalam meneruskan pengajian. Ini membuktikan komitmen kami dalam menyokong pelajar yang berpotensi dan berbakat untuk terus maju dalam kehidupan. Menerusi Program Ziarah Kasih Simpan SSPN, PTPTN berpeluang bukan sahaja menyantuni keluarga kurang berkemampuan, malah turut membawa keceriaan kepada keluarga di samping memberi dorongan kepada pelajar agar terus tekun menimba ilmu. PTPTN juga berharap agar masyarakat lebih prihatin terhadap keperluan komuniti sekeliling dan pada masa yang sama mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak supaya lebih ramai keluarga dapat dibantu untuk menikmati akses pendidikan dan peluang yang lebih baik.

Penabungan melalui Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat dan keistimewaan kepada masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited dalam meningkatkan pelaksanaan program-program CSR terutamanya dalam aspek pendidikan demi pembangunan anak bangsa selari dengan moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda dan tagline PTPTN Prihatin : Kami Kongsi, Kami Bantu.