Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

BRJIM 2025 Naikkan Hadiah Wang Tunai Keseluruhan Kepada USD45,700, Perkenal Kategori Hadiah Untuk Peserta Tempatan

BRJIM 2025 Naikkan Hadiah Wang Tunai Keseluruhan Kepada USD45,700, Perkenal Kategori Hadiah Untuk Peserta Tempatan

KUALA LUMPUR, 27 OGOS 2025 – Berikutan sambutan yang menggalakkan, Bank Rakyat Johor International Marathon (BRJIM) 2025 mengumumkan peningkatan hadiah wang tunai keseluruhan kepada USD45,700 atau RM194,760, sekali gus memperkenal tawaran hadiah khusus untuk peserta tempatan bagi kategori 42KM dan 21KM serta acara terbuka bagi kategori 10KM.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, selain untuk meraikan pencapaian pemenang melalui ganjaran yang lebih menarik, inisiatif ini diambil sebagai pengiktirafan kepada pelari Malaysia yang kian menyerlah di pentas maraton, serta sebagai galakan untuk lebih ramai rakyat tempatan bersama-sama menyertai acara bertaraf antarabangsa ini.

“Kami percaya dengan adanya sokongan dan ganjaran seperti ini, peserta bukan sahaja lebih bersemangat untuk menonjolkan kemampuan mereka dan bersaing secara sihat, malah berpeluang mencipta rekod baharu yang mampu mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tambahnya, pendaftaran bagi acara maraton ini juga secara rasminya telah dibuka secara berperingkat kepada orang ramai bermula 15 Ogos 2025 dengan pelbagai pilihan kategori jarak larian iaitu 42KM bagi acara maraton penuh, 21KM bagi acara separa maraton, 10KM dan 5KM serta 2KM iaitu ’Nuri Dash Run’ bagi larian kanak-kanak.

“Kategori pendaftaran pertama yang dibuka pada 15 Ogos lalu dengan tawaran diskaun istimewa 30% khusus untuk pemegang Kad Debit-i dan Kad Kredit-i Bank Rakyat serta pelanggan yang menggunakan FPX Bank Rakyat telah pun tamat pada 21 Ogos lalu.

“Bagaimanapun, orang ramai masih berpeluang menyertai BRJIM 2025 pada harga istimewa menerusi kategori pendaftaran awal (early bird) yang telah dibuka bermula 15 Ogos hingga 31 Ogos 2025, dengan pemegang kad Bank Rakyat layak menikmati diskaun tambahan sebanyak 20% daripada kadar yuran penyertaan yang ditetapkan.

“Pendaftaran bagi kategori biasa (normal) pula akan dibuka kepada orang ramai bermula 1 September hingga 30 September 2025 dengan diskaun eksklusif sebanyak 10% untuk pemegang Kad Debit-i dan Kad Kredit-i Bank Rakyat.

“Setakat ini, lebih 3,000 peserta dari dalam dan luar negara telah mendaftar dan kami menjangkakan penyertaan melebihi 8,000 peserta menjelang tarikh tutup pendaftaran pada 30 September 2025,” katanya.

Bank Rakyat turut memaklumkan mengenai penglibatan pelbagai jenama sukan terkemuka seperti Voltra, Decathlon, Kahf, Al-Ikhsan dan banyak lagi bagi menjayakan festival sukan ‘Bank Rakyat Sport Fest 2025’ bermula 7 hingga 9 November 2025 yang mana dijangka menjadi tarikan utama kepada peserta dan pengunjung dengan pelbagai aktiviti sukan lain, serta tawaran istimewa bagi barangan sukan.

“Selain itu, SKS Hospitality yang merupakan rakan strategik penginapan kami turut menyediakan tawaran istimewa khusus kepada peserta yang memilih Hotel Sheraton Johor Bahru, Hotel Holiday Inn Johor Bahru, Capri by Fraser Johor Bahru dan Fives Hotel Johor Bahru City Centre, termasuk Hotel Amari Johor Bahru sebagai lokasi penginapan.

“Antara tawaran istimewa yang disediakan termasuk, diskaun sebanyak 20% untuk tempahan bilik, 20% diskaun bagi makanan dan minuman di hotel terpilih, baucar diskaun untuk penginapan seterusnya serta banyak lagi,” katanya.

Bank Rakyat turut menjemput dan menggalakkan penyertaan murid sekolah rendah di sekitar negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang yang berminat untuk menyertai acara maraton ini menerusi kategori jarak larian 2KM (Nuri Dash Run) bagi kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun.

“Penyertaan kanak-kanak dalam acara maraton ini bukan sahaja dapat memberi mereka pendedahan serta pengalaman unik menyertai larian bertaraf antarabangsa, malah memupuk semangat kesukanan, meningkatkan disiplin diri dan memperkukuh daya tahan mental,” ujarnya.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar menerusi laman sesawang rasmi di www.johorinternationalmarathon.com, serta ikuti media sosial rasmi Bank Rakyat dari semasa ke semasa untuk maklumat lanjut.