Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bekalan Telur Ayam Stabil, Pengeluaran Kini Melebihi Permintaan Domestik
PUTRAJAYA, 28 OGOS 2025 – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) ingin memaklumkan bahawa bekalan telur ayam di pasaran adalah mencukupi dan stabil, malah pengeluaran tempatan kini melebihi permintaan domestik menurut data dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Susulan penstrukturan semula subsidi telur berkuat kuasa 1 Ogos 2025, pihak industri dari semasa ke semasa akan menyemak dan menyelaras harga jualan di pasaran terbuka berpandukan kepada data pengeluaran semasa. Proses pelarasan harga ini adalah sebahagian daripada mekanisme pasaran terbuka, namun tidak menjejaskan jaminan bekalan telur untuk pengguna.
Berdasarkan tinjauan KPKM, bekalan telur Gred A, B dan C masih stabil dan boleh dibeli di pasaraya-pasaraya. Manakala bekalan telur Gred Khas dengan harga mampu milik turut tersedia dengan kuantiti yang munasabah. KPKM juga akan meneruskan pemantauan terhadap data pengeluaran telur termasuk meneruskan inisiatif Jualan Agro MADANI bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa menjalankan aktiviti pemantauan harga dan tindakan tegas akan diambil di bawah undang-undang sedia ada sekiranya berlaku sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi serta kenaikan harga yang tidak munasabah.
KPKM sentiasa komited untuk memastikan bekalan telur mencukupi dan terjamin bagi memenuhi permintaan pengguna.