Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Semakin ‘Panas’, Ini Sebab Rakyat Indonesia Lakukan Demonstrasi

Sofea
indonesia lakukan demonstrasi
Kredit: Antara News

Semakin ‘Panas’, Ini Sebab Rakyat Indonesia Lakukan Demonstrasi

Demonstrasi besar-besaran di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia kini memasuki satu fasa baharu apabila berlaku kekecohan sehingga menyebabkan seorang penunjuk perasaan maut. Bermula pada 25 Ogos lalu, ramai penunjuk perasaan berhimpun di DPR bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka.

Namun, demonstrasi pada Khamis (28 Ogos) semakin menambah kemarahan rakyat selepas seorang pemuda 21 tahun maut digilis oleh kenderaan perisai polis.

Menurut portal Inca Berita, suasana protes kali ini agak berbeza dari sebelum ini dan ia menjadi salah satu demonstrasi DPR yang paling ‘panas’.

Kredit: CNBC Indonesia

Bagaimanapun, mengapakah demonstrasi ini tercetus?

Untuk pengetahuan, segalanya bermula apabila gaji ahli DPR telah dinaikkan sekitar Rp 120 juta (RM30,723 sebulan) bagi tempoh 2024 hingga 2029.

Menurut Kompas.com, bayaran gaji itu naik dengan sangat mendadak berbanding ketika awal mereka menjadi ahli DPR. Gaji mereka ketika itu hanya sekitar Rp 50 juta (RM12,801).

Keadaan bertambah hangat apabila ahli-ahli DPR dilihat menari keriangan selepas perkara itu diumumkan.

Pun begitu, Timbalan Speaker DPR, Adies Kadir menafikan laporan terbabit dan menyatakan bahawa gaji ahli DPR tidak akan dinaikkan.

Sebaliknya, beliau menyatakan bahawa kenaikan hanya melibatkan elaun ahli DPR. Elaun itu hadir dalam pelbagai bentuk, termasuk elaun beras, telur, petrol dan sehinggalah elaun perumahan yang kini mencecah Rp 50 juta sebulan.

Bagaimanapun, orang ramai tetap meneruskan demonstrasi pada 25 Ogos untuk menggesa agar DPR dibubarkan.

Kredit: CNBC Indonesia

Demonstrasi dihangatkan lagi pada 28 Ogos yang memperlihatkan penunjuk perasaan terdiri daripada para pekerja dan kesatuan buruh. Mereka menuntut enam perkara ketika protes terbabit iaitu:

1. Menghapuskan penyumberan luar dan menolak gaji rendah

2. Mencegah proses pemberhentian kerja

3. Memperbaharui cukai buruh

4. Meluluskan rang undang-undang buruh tanpa undang-undang omnibus

5. Meluluskan rang undang-undang rampasan aset

6. Menyemak rang undang-undang pilihan raya

Kredit: CNBC Indonesia

BACA JUGA: Lelaki Maut Digilis Kenderaan Perisai Polis Ketika Demonstrasi Di Indonesia

Selepas itu gelombang penunjuk perasaan yang terdiri daripada mahasiswa dan pelajar sekolah turut berhimpun di sekitar bangunan DPR. Mereka sekali lagi menuntut pembubaran DPR dan pembatalan elaun ahli DPR yang berlebihan.

Hari ini (29 Ogos), protes masih lagi diteruskan, dengan lokasi kali ini tertumpu di Polis Daerah (Polda) Metro Jaya.

“Semua rakyat Indonesia dijemput untuk menyertai perjuangan seterusnya,” tulis satu kiriman yang tular di media sosial.

Demonstrasi yang berlangsung pada jam 1 petang waktu tempatan itu turut akan menyaksikan Badan Eksekutif Pelajar Indonesia (BEM SI) mengadakan perarakan panjang ke bangunan Polda Metro Jaya.

Kali ini, kemarahan mereka dipicu oleh kematian pemuda 21 tahun, menuntut agar tindakan sewajarnya dikenakan terhadap pihak berkuasa yang menindas orang ramai.

Sumber: Kompas, Inca Berita, Tempo, CNBC Indonesia