Utama

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Sukan

Politik

Berita

Berita

Politik

Politik

Kempen Imunisasi MRSIA 2025: Perlindungan Awal Bagi Anak-Anak Anda
Kesihatan anak-anak merupakan aset paling berharga bagi setiap keluarga. Ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan si kecil membesar dengan sihat, selamat dan bebas daripada ancaman penyakit.
Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah proaktif dengan melancarkan Kempen Imunisasi MRSIA 2025 (Measles-Rubella Supplementary Immunisation Activity).
Kempen ini bukan sekadar program biasa tetapi merupakan usaha besar-besaran negara untuk memberikan perlindungan tambahan terhadap demam campak (measles) dan rubella.
Ia merupakan dua penyakit berjangkit yang boleh memberi kesan serius kepada kanak-kanak.
MRSIA ialah suntikan imunisasi tambahan MR (Measles-Rubella) yang diberikan khusus kepada kanak-kanak berumur 6 hingga 59 bulan yang lahir antara 1 Ogos 2020 hingga 31 Januari 2025.
Walaupun kanak-kanak sudah menerima suntikan vaksin rutin melalui Program Imunisasi Kebangsaan, suntikan tambahan ini diperkenalkan untuk menutup jurang perlindungan yang wujud akibat liputan imunisasi tidak sekata di seluruh negara.
Dengan langkah ini, KKM mahu memastikan lebih ramai kanak-kanak dilindungi sekali gus meningkatkan imuniti kelompok (herd immunity) dalam masyarakat.

Bila kempen ini bermula dan berakhir?
Kempen MRSIA 2025 bermula secara rasmi pada 4 Ogos 2025 dan akan berlangsung sehingga 12 Oktober 2025.
Tempoh lebih dua bulan ini memberi ruang yang cukup untuk ibu bapa membawa anak-anak ke klinik kesihatan, sekolah, pusat komuniti atau lokasi outreach yang ditetapkan.
Sasaran KKM jelas iaitu untuk memastikan sekurang-kurangnya 95% kanak-kanak yang layak mendapat suntikan tambahan MR supaya rantaian jangkitan campak dan rubella dapat diputuskan sepenuhnya.
Mungkin ada yang tertanya, mengapa perlu ada suntikan tambahan sedangkan imunisasi rutin sudah tersedia? Jawapannya ialah kerana liputan imunisasi tidak sekata di setiap daerah.
Walaupun secara keseluruhan liputan vaksin MMR di peringkat kebangsaan melebihi 95%, hanya 62% daerah yang benar-benar mencapai tahap perlindungan tersebut pada tahun 2024.
Keadaan ini membuka ruang kepada wabak campak untuk kembali menular.
Data menunjukkan peningkatan ketara dalam kes. Daripada 2,002 kes pada 2023 melonjak kepada 3,791 kes pada 2024 dengan bilangan wabak naik daripada 112 kepada 231 dalam tempoh yang sama.
Lebih membimbangkan, kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak berumur bawah 5 tahun termasuk beberapa kes kematian di kalangan bayi yang tidak menerima vaksin lengkap.
Situasi inilah yang mendorong KKM melaksanakan MRSIA sebagai langkah pencegahan segera.
Kempen MRSIA membawa beberapa matlamat penting iaitu:
Meningkatkan liputan imunisasi supaya imuniti kelompok dapat dicapai secara menyeluruh bukan hanya di peringkat nasional tetapi juga di setiap daerah dan komuniti.
Melindungi kanak-kanak berisiko tinggi. Terutama bayi dan anak kecil yang lebih mudah terdedah kepada komplikasi serius akibat jangkitan campak dan rubella.
Menyokong matlamat global untuk menghapuskan penyakit campak menjelang tahun 2030 seiring dengan komitmen Malaysia sebagai anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
BACA : 8 Simptom Diabetes, Ganggu Waktu Tidur Malam Anda
KKM memastikan akses kepada suntikan tambahan ini mudah dan mesra rakyat. Antara pilihan yang tersedia ialah:
Secara percuma di klinik kesihatan kerajaan. Ibu bapa boleh membawa anak-anak tanpa perlu risau soal kos kerana suntikan ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Janji temu melalui MySejahtera atau walk-in. Untuk kemudahan, ibu bapa boleh menetapkan tarikh suntikan melalui aplikasi MySejahtera atau terus hadir ke klinik kesihatan tanpa janji temu.
Kempen outreach di sekolah dan komuniti. Pasukan perubatan akan turun padang ke sekolah, pusat komuniti dan kawasan pedalaman untuk memastikan tiada kanak-kanak tercicir daripada program ini.
Dalam setiap proses, ibu bapa akan dimaklumkan tentang manfaat serta kesan sampingan ringan yang mungkin dialami selepas suntikan, seperti demam atau kemerahan pada tempat cucukan.
Apa peranan ibu bapa?
Sebagai ibu bapa atau penjaga, anda memainkan peranan besar dalam memastikan kejayaan kempen ini. Pastikan anak yang lahir dalam lingkungan tarikh kelayakan dibawa untuk menerima suntikan sebelum 12 Oktober 2025.
Simpan rekod imunisasi mereka dengan baik kerana ia menjadi bukti perlindungan yang telah diberikan. Ingat, satu suntikan tambahan ini mampu memberi kesan besar dalam melindungi kesihatan anak anda dan komuniti sekeliling.
Oleh itu, kempen Imunisasi MRSIA 2025 adalah peluang keemasan untuk memberi perlindungan tambahan kepada generasi muda negara.
Ia adalah simbol komitmen kerajaan dalam memastikan setiap kanak-kanak tanpa mengira latar belakang atau lokasi mendapat hak yang sama untuk dilindungi daripada penyakit berbahaya.
Sebagai ibu bapa, jangan tunggu sehingga terlambat. Pastikan anda ambil langkah segera dengan membawa anak-anak untuk mendapatkan suntikan ini.
Sumber : jknkl.moh.gov, mrsia