Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pemimpin Dunia Disaran Contohi PM Anwar Sokong Misi Kemanusiaan Ke Gaza
KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) — Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al Nuri Kamaruzaman menyeru pemimpin dunia mencontohi usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong gerakan kemanusiaan Gaza.
Muhammad Nadir juga menyeru pemimpin dari Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Bhutan, Nepal, Filipina, Thailand dan negara-negara lain bersama-sama menyatakan sokongan terhadap keselamatan rakyat Palestin dan semua peserta Global Sumud Flotilla.
Global Sumud Flotilla yang membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pertengahan bulan ini selepas belayar merentasi Laut Mediterranean.
Antara yang menyertai misi itu artis tanah air Zizi Kirana dan Ardell Aryana, serta pendakwah Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat. Kumpulan kedua pula melibatkan 15 aktivis Malaysia termasuk pempengaruh Farah Lee dan ZRA Strim atau nama sebenarnya Zainal Rashid Ahmad.
Flotila kemanusiaan itu bertujuan menarik perhatian kerajaan dari seluruh dunia untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan genosid di Gaza dan membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada mangsa yang memerlukan.
Global Sumud Flotilla menghimpunkan gabungan antarabangsa merangkumi Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Asia Barat, menyaksikan semua delegasi yang menyertainya mendukung prinsip tanpa keganasan dan menyifatkan flotila bukan misi kemanusiaan semata-mata malah sebagai simbol kekukuhan perpaduan global bersama rakyat Gaza.
BACA: Dewan Negara Lulus RUU Pekerja Gig 2025
Sumber: BERNAMA