Pelajar Hafizah Raih 10A SPM & Tokoh Sahsiah Terpuji Beri Ucapan Dalam Bahasa Jepun
Memiliki keputusan yang sangat cemerlang dalam peperiksaan sememangnya menjadi impian setiap murid dan juga ibu bapa.
Bagi murid, kejayaan akademik merupakan usaha gigih mereka sepanjang tempoh pembelajaran, malah ia juga membuka peluang yang lebih luas untuk melangkah ke peringkat pendidikan yang lebih tinggi.
Manakala bagi ibu bapa, pencapaian anak-anak yang membanggakan merupakan satu ganjaran yang berharga hasil daripada sokongan, dorongan serta pengorbanan yang telah dicurahkan sejak awal.
Di sebalik senyuman kegembiraan dan laungan syukur ketika menerima keputusan yang cemerlang, terselit beribu kisah pengorbanan, penat lelah, air mata dan doa yang tidak pernah putus.
Ucapan dari pelajar Hafizah ini buat ramai kagum
Baru-baru ini, sebuah video menjadi tular di media sosial apabila memaparkan seorang hafizah yang bukan sahaja dikenali sebagai Tokoh Sahsiah Terpuji, malah turut mencatatkan kejayaan gemilang dengan memperoleh keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Menerusi video yang dikongsikan oleh akaun @tahfizmadinatulhuffaz di TikTok, kelihatan pelajar cemerlang tersebut, Aina Afiqah binti Sahipol Nizam sedang berdiri di sisi bapanya ketika menyampaikan ucapan penuh rasa syukur.
“Saya peroleh anugerah ‘Tokoh Sahsiah Pelajar’ dan saya rasa sangat gembira serta bersyukur. Kepada pihak sekolah terutamanya guru-guru, saya amat berterima kasih,” katanya.
Lebih mengagumkan lagi, pelajar ini turut menyampaikan ucapannya dalam Bahasa Jepun, sekali gus menarik perhatian ramai.
Kejutan tidak berhenti di situ, kerana sewaktu Aina Afiqah menyerahkan mikrofon kepada bapanya, orang ramai terpukau dengan kebolehan beliau yang turut fasih bertutur dalam Bahasa Jepun.
Video berdurasi 43 saat itu memaparkan riak wajah si ayah yang jelas terpancar dengan kegembiraan serta rasa bangga apabila menyaksikan kejayaan anaknya.
“Saya sangat gembira kerana dikurniakan anak perempuan yang sangat cemerlang,” ujar beliau.
Video tersebut memberi inspirasi kepada orang ramai
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok turut meluahkan rasa gembira dan bangga dengan kejayaan yang dikecapi oleh Aina Afiqah.
Ramai yang menyifatkan kejayaannya sebagai satu inspirasi buat generasi muda, khususnya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar.
Sumber: @tahfizmadinatulhuffaz via TikTok