Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hotel Hilton Nepal Rosak Teruk, Dipercayai Dibakar Penunjuk Perasaan
Beberapa video dan imej yang menunjukkan Hotel Hilton di Kathmandu hampir musnah menjadi tular selepas dipercayai dibakar oleh penunjuk perasaan, dua hari lepas.
Hotel berkenaan yang menelan kos pembinaan sekitar RM377 juta dan mula beroperasi sejak Julai 2024 merupakan bangunan tertinggi di ibu negara Nepal itu.
Menurut laporan portal berita antarabangsa, hotel mewah berstatus 5 bintang itu dibina menggunakan teknologi terkini dan mampu bertahan dengan aktiviti gempa bumi.
Protes dan tunjuk perasaan oleh anak muda Nepal yang menggelarkan diri mereka sebagai Gen-Z meletus sejak minggu lalu, dipercayai berpunca daripada keputusan kerajaan menyekat beberapa platform media sosial.
Hotel Hilton Nepal dipercayai dibakar penunjuk perasaan
Sekatan yang berkuatkuasa pada 4 September sebelum ditarik balik itu menyasarkan sekurang-kurangnya 26 platform termasuk Facebook dan Youtube.
Penunjuk perasaan menuduh keputusan tersebut sebagai usaha untuk menutup suara anak muda yang sudah lama tidak berpuas hati dengan pemerintahan kerajaan.
Antara isu lain yang dipercayai memburukkan lagi keadaan termasuklah krisis pengangguran dalam kalangan anak muda, jurang pendapatan yang melebar dan dakwaan rasuah dalam kalangan ahli politik.
Protes mula meletus apabila ribuan penunjuk perasaan termasuk anak muda yang mengenakan seragam sekolah turun ke jalan membuat bantahan, sejak 8 September lepas.
Walaupun kerajaan menarik balik sekatan ke atas platform media sosial, protes tidak reda dan beberapa insiden keganasan terus berlaku selepas itu.
Penunjuk perasaan dilapor bertindak menyerang dan membakar beberapa infrastruktur penting negara itu termasuklah bangunan Parlimen, Mahkamah Agung dan beberapa buah rumah ahli politik.
Rumah bekas Perdana Menteri Nepal, KP Sharma Oli turut dibakar dan berakhir dengan tragedi apabila isterinya maut dalam insiden tersebut.
Manakala serangan ke atas Hotel Hilton Kathmandu berlaku selepas ia dikaitkan dengan anak kepada Presiden Kongress Nepal, Sher Bahadur Deub, tuduhan yang telah dinafikan pada 11 September lepas.
Selepas peletakan jawatan oleh KP Sharma Oli dan beberapa menteri kabinetnya, tidak jelas siapa yang sedang memimpin Nepal ketika ini.
BACA: Lelaki, Wanita Ditemukan Maut Dipercayai Dibunuh Di Guar Chempedak
Sumber: Mothership.sg