Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Warisan Kraf Kelantan Diiktiraf, Kota Bharu Dicalonkan Sebagai “World Craft City”
Malaysian Craft Council (MCC) telah menganjurkan Majlis Menandatangani Plak Pencalonan Kota Bharu sebagai “World Craft City” di bawah World Crafts Council (WCC) yang bertempat di Hotel Perdana, Kota Bharu.
Majlis ini merupakan langkah rasmi bagi mengemukakan pencalonan Kota Bharu ke peringkat antarabangsa, dan bukannya pengiktirafan muktamad lagi.
Proses penilaian akan dibuat oleh pihak World Crafts Council sebelum sebarang pengesahan status rasmi diberikan.
Majlis gilang gemilang ini turut menerima keberangkatan tiba DYMM Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, serta dihadiri YB Datuk Kamaruddin Md Nor, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, dan Encik Sundeep Kumar, Naib Presiden World Crafts Council (Rantau Asia Pasifik) dari India.
Acara ini diadakan bagi meraikan keunikan seni kraf tradisional negeri Kelantan, khususnya hasil seni tekstil bernilai tinggi seperti Kelingkan dan Songket.
Dua tokoh tersohor, Puan Nik Marhamah Nik Megat (Adiguru Sulaman Kelingkan) dan Puan Che Rohani Che Mood (Adiguru Tenunan Songket) mempersembahkan demonstrasi eksklusif kepada tetamu bagi menunjukkan proses penghasilan tekstil warisan ini.

Pencalonan Kota Bharu sebagai “World Craft City” dilihat sebagai satu pencapaian penting dan bersejarah, kerana ia membuka peluang untuk seni kraf tempatan diiktiraf di pentas dunia.
“Walaupun pengiktirafan rasmi masih dalam proses penilaian WCC, pencalonan ini sendiri sudah membuktikan kekayaan warisan seni kraf negeri Kelantan serta sokongan padu komuniti kraf di sini.
“Pencalonan ini juga menandakan langkah signifikan MCC dalam usaha melestarikan warisan seni kraf, selain membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat, terutamanya wanita dan penggiat seni tekstil tradisional,” menurut Presiden MCC, Nik Faiz Nik Amin.

Sekiranya berjaya, pencalonan ini dijangka akan:
• Mengangkat martabat penggiat seni kraf tempatan ke peringkat antarabangsa.
• Memberi peluang ekonomi kepada komuniti setempat, khususnya wanita dan penggiat seni tekstil tradisional.
• Memperkukuh usaha menjadikan Kelantan sebagai destinasi pelancongan beridentitikan warisan dan budaya.
Malaysian Craft Council (MCC) adalah sebuah organisasi bukan kerajaan yang bertindak sebagai agen advokasi untuk memacu pertumbuhan industri kraf negara. MCC mewakili pelbagai kategori kraf termasuk batik, songket, tenun, perak, seramik, dan sulaman.
Selain itu, MCC juga berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan pemain industri dalam pelbagai bidang kesenian termasuk seni persembahan dalam memposisikan seni budaya Malaysia di peringkat antarabangsa melalui projek kolaborasi dan jaringan strategik.
Majlis ini dihadiri oleh pelbagai pihak berkepentingan dalam industri kraf dan pembangunan komuniti, termasuk tetamu kehormat dari sektor kerajaan dan swasta.
Diharapkan, kerjasama ini akan menjadi pemangkin kepada pemeliharaan dan pengembangan seni tekstil Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.