Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Taufan ‘Ragasa’ Landa China, Hampir 2 Juta Penduduk Dipindahkan

Athirah
Taufan 'Ragasa' Landa China
Kredit: CNN

Taufan ‘Ragasa’ Landa China, Hampir 2 Juta Penduduk Dipindahkan

Hampir dua juta orang di selatan China dilaporkan terpaksa dipindahkan selepas taufan kuat melanda kawasan pantai yang paling padat penduduk di dunia, selepas terlebih dahulu menyebabkan banjir dahsyat di Taiwan.

Menurut portal CNN, taufan Ragasa melumpuhkan pusat kewangan Hong Kong dan sebahagian besar selatan China pada Rabu, selepas melanda pulau terpencil di Filipina dan kawasan pergunungan Taiwan.

Kekuatan taufan tersebut mula berkurang, manakala status taufan itu diturunkan kepada ribut tropika teruk hari ini.

Namun begitu, ia telah meninggalkan jejak kemusnahan, termasuk mencetuskan tanah runtuh, banjir dan ombak besar di wilayah Guangdong, China,yang menempatkan bandar-bandar besar seperti Shenzhen dan Guangzhou.

Dengan ribut dijangka terus bergerak ke arah barat pada hari Khamis, beberapa perkhidmatan kereta api di selatan China telah dihentikan untuk sementara waktu.

17 orang dilapor terkorban di Taiwan

Sebelum ini, sekurang-kurangnya 17 orang dilapor terkorban di Taiwan dan pasukan penyelamat giat mencari 17 mangsa masih hilang setakat petang semalam selepas sebuah empangan semula jadi yang menahan tasik baru terbentuk, runtuh hari sebelumnya.

Bencana itu menyebabkan 68 juta tan air mengalir keluar dan menenggelamkan bandar berdekatan, Guangfu.

Rakaman video kejadian dari bandar di daerah pergunungan Hualien, timur Taiwan itu menunjukkan air deras air mengalir di jalan-jalan raya dengan menghanyutkan kenderaan, manakala penduduk berlindung di tingkat atas dan bumbung rumah apabila tingkat bawah mula ditenggelami air.

CNN melaporkan sisa tanah runtuh pada Julai lalu membentuk tasik yang menjadi ‘empangan semula jadi’ tersebut.

Pihak berkuasa Taiwan berulang kali memberi amaran bahawa tasik semula jadi itu berisiko melimpah menjelang Oktober ini.

Pada sidang media semalam, pegawai-pegawai memaklumkan penilaian menunjukkan adalah tidak praktikal untuk mengorek, menyedut atau membuang halangan tasik itu menyebabkan mereka memilih untuk hanya memantau keadaan.

Sebelum taufan Ragasa melanda, pihak berkuasa berkata, mereka telah mengeluarkan beberapa amaran dan nasihat berpindah kepada penduduk setempat.

“Namun, ramalan untuk Oktober ini tidak mengambil kira hujan lebat atau taufan kuat yang boleh mempercepatkan proses itu,” kata profesor di Universiti Nasional Chi Nan, Kuo-Lung Wang.

BACA: Wanita Maut Terpijak Asid ‘Pelarut Tulang’ Ketika Berjalan Di Kawasan Bukit

Sumber: CNN