Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sekolah Pondok Runtuh: 10 Disahkan Terkorban Setakat Ini

sekolah pondok runtuh
Kredit: Antara

Sekolah Pondok Runtuh: 10 Disahkan Terkorban Setakat Ini

Indonesia — Seramai 10 mangsa runtuhan sekolah Pondok Al Khoziny di Sidoarjo telah ditemui maut dan 103 lagi terselamat ketika operasi mencari dan menyelamat memasuki hari keempat, lapor Detik News.

Ketua Balai Mencari dan Menyelamat Surabaya, Nanang Sigit mengesahkan angka tersebut.

“Hari ini (Jumaat), jumlah keseluruhan mangsa yang ditemui adalah lima orang yang kesemuanya sudah meninggal dunia. Jadi, jika dijumlahkan semua mangsa yang ditemui, 10 telah meninggal dunia dan 103 selamat,” katanya.

Ujarnya lagi, kesemua mangsa yang ditemui hari ini berada di tingkat satu dalam surau.

“Dua orang pertama berada di kawasan wuduk, kemudian dua lagi di sebelah kiri atau di belakang dan yang kelima juga berada di sekitar kawasan tersebut,” katanya.

Proses menyelamat masih lagi diteruskan dan jengkaut berat digunakan untuk membersihkan kawasan sekitar bangunan yang runtuh.

BACA JUGA: Kronologi Runtuhan Sekolah Pondok Al Khoziny Di Indonesia

Terdahulu, Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Pratikno berkata penggunaan jentera berat juga dilakukan kerana tiada lagi tanda-tanda mangsa yang terperangkap masih bernyawa.

Menurutnya, keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai keadaan ini dan mereka bersetuju agar jentera berat digunakan.

“Pun begitu, peralatan berat itu akan digunakan dengan sangat berhati-hati,” katanya.

Jelasnya lagi, pihak penyelamat telah melakukan pelbagai penilaian untuk menentukan sama ada masih terdapat mangsa yang terselamat dalam runtuhan itu.

Malah, tular satu video yang memaparkan beberapa anggota penyelamat meminta agar mangsa di bawah runtuhan menyahut atau sekurang-kurangnya membuat bunyi ketukan menggunakan objek di sekeliling mereka.

Namun, tiada sebarang suara yang menyahut, membuatkan orang ramai turut merasa sayu.

Sekolah Pondok Al Khoziny yang terletak di Buduran, Sidoarjo itu telah runtuh pada Isnin. Ratusan pelajar dilaporkan sedang menunaikan solat Asar secara berjemaah di bangunan berkenaan.

Memetik CNN Indonesia, bangunan sekolah terbabit masih lagi dalam proses pembinaan.

Sehingga kini, ibu bapa mangsa yang masih terperangkap menanti dengan penuh harapan walaupun pihak berkuasa telah menyatakan bahawa sudah tiada tanda-tanda mangsa yang bernyawa.

Sumber: Detik News, CNN Indonesia