Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sahabat Kongsi Kepulangan Senyap ZRA, Tiada Sorakan, Hanya Ditemani Air Mata
Disebalik suasana riuh pelbagai pihak menyambut kepulangan delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi, salah seorang pesertanya Zainal Rashid Ahmad atau lebih dikenali sebagai ZRA mencuri perhatian apabila memilih untuk pulang secara senyap ke kediamannya.
Menerusi perkongsian wartawan Syahril Abdul Kadir, kepulangan ZRA dibantu oleh sahabat rapatnya termasuk Syirfan Indra dan rakan-rakan.
“Air mata kami semua berlinangan bila memeluk lelaki berusia 58 tahun ini tadi di rumahnya tengah malam tadi. Turut hadir adalah antara tulang belakang ZRA Strim, saudara Nua.
“Tubuh Zainal makin kurus, riak keletihan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, Tapi itulah ZRA.
“Dia telah laksanakan apa yang dia percaya dan perjuangkan selama ini. Dia serahkan semuanya pada Allah yang maha Esa,” kongsinya.
Dalam pada itu, Syahril menegaskan bahawa ZRA mahu pulang sebagai insan biasa seperti mana hari-hari sebelumnya dan tidak mahu dipuji atau disanjung.
“Dia ingin kembali sebagai insan biasa seperti mana hari-hari sebelumnya. Jangan buang masa memuji dan menyanjung dirinya. Dia tidak mahu semua itu,” katanya lagi.
Semalam, 23 sukarelawan rakyat Malaysia yang ditahan Israel dalam misi kemanusiaan GSF selamat pulang ke tanah air.
Kesemua mereka yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Turkiye pada Isnin, 11.20 malam waktu tempatan, terlebih dahulu transit di Dubai, Emeriah Arab Bersatu sebelum meneruskan perjalanan pulang ke tanah air dengan penerbangan Emirates EK342 yang mendarat pada 10.07 malam di KLIA.
Ketibaan mereka disambut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, wakil Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ratusan pendukung Palestin dengan laungan Free Free Palestin dan Allahuakbar sambil mengibarkan bendera Palestin.
Sumber: Syahril A. Kadir