Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bonda Rozita Luah Rasa Pilu Selepas Staf Maut Dihempap Pokok Tumbang
Negara hari ini dikejutkan dengan berita seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Batang Kali, Hulu Selangor.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 2.14 petang.
Mangsa dikenali sebagai Sir Ahmad Al Faruq Bin Mohamad Fatihur Rahman, berusia 20 tahun merupakan staf kepada usahawan dan pengasas jenama kosmetik terkenal Bonda Rozita Ibrahim.
Menerusi hantaran @bondarozitaibrahim di Instagram, beliau meluahkan rasa pilu dan kecewa atas tragedi yang meragut nyawa staf syarikatnya itu.
Beliau menceritakan suasana hiba di lokasi kejadian yang diselubungi tangisan rakan-rakan sekerja serta keluarga mangsa.
“Hujan lebat yang memilukan. Staf Bonda teresak-esak menangis, tak percaya apa yang mata sendiri menyaksikan. Jam 2.30 petang, dalam sekelip mata, pokok besar di jalan utama menuju ke Genting tumbang menghempap kereta Hilux milik syarikat Bonda
“Nyawa staf kami yang masih muda, bongsu dalam keluarga, baru berusia 20 tahun, diragut dalam tragedi ngeri ini,” katanya.
Sewaktu kejadian, anggota bomba dan polis bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa, manakala ambulans telah bersedia untuk membawa mangsa ke hospital.
“Suasana pilu hanya kedengaran esakan dan raungan seorang ibu yang kehilangan anak
“Ayah tua pula berdiri kaku, menahan pilu melihat jenazah anak yang pergi tidak kembali,” luah beliau lagi.
Dalam masa sama, Rozita Ibrahim menggesa pihak berkuasa agar menjalankan siasatan terperinci berikutan insiden pokok tumbang yang menghempap sebuah kereta pacuan empat roda sehingga mengorbankan seorang pekerjanya.
“Sampai bila nyawa manusia mahu dipandang ringan? Mana pihak yang sepatutnya memantau keselamatan jalan utama pengunjung?
“Pokok-pokok reput dibiarkan berdiri, menunggu masa menimpa mangsa seterusnya,” katanya.
Menurut hantaran lagi, pelbagai isu keselamatan di kawasan rekreasi terus menjadi kebimbangan.
Orang awam bebas berkelah tanpa pengawasan, manakala kawasan parkir sesak setiap hujung minggu, sekali gus mewujudkan potensi bahaya yang tinggi.
Tragedi menimpa seorang anak muda yang merupakan staf resort, yang datang bekerja mencari rezeki halal dengan semangat, tetapi nyawanya terkorban sebelum sempat meniti usia dewasa.
Rozita Ibrahim berkata kejadian ini bukan sekadar takdir, sebaliknya menunjukkan kelalaian dalam aspek keselamatan.
“Jangan perdiamkan. Ini nyawa manusia, bukan angka dalam laporan jadi punca kematian mesti disiasat,” ujar beliau lagi.
Bagi pengusaha berlesen seperti Rozita Ibrahim, pematuhan terhadap syarat dan pemantauan kerajaan negeri adalah wajib.
Namun, resort yang tidak berlesen terus beroperasi tanpa kawalan dan tanggungjawab, menimbulkan risiko serius kepada orang ramai.
“Sedekahkan Al-Fatihah kepada Arwah Sir Ahmad Al Faruq Bin Mohamad Fatihur Rahman,” katanya menerusi hantaran.