Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Boleh Bawa Maut : Ini 6 Gejala Bahaya Influenza Yang Tak Boleh Diabaikan
Ramai antara kita menganggap selesema atau influenza sekadar penyakit ringan yang akan pulih sendiri selepas beberapa hari berehat dan minum ubat demam.
Namun hakikatnya influenza bukan sekadar batuk, bersin dan hidung berair seperti yang sering disangka. Ia adalah jangkitan virus yang boleh menyerang sistem pernafasan dan memberi kesan serius kepada paru-paru, jantung, malah otak.
Terutama sekali bagi golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak kecil, wanita hamil dan pesakit kronik. Apa yang bermula dengan rasa tidak sihat biasa boleh berubah menjadi komplikasi yang mengancam nyawa jika dibiarkan tanpa rawatan.
Influenza bukan lagi sesuatu yang boleh dianggap remeh kerana kes-kes komplikasi akibat jangkitan ini semakin meningkat saban tahun terutamanya ketika musim perubahan cuaca dan penularan penyakit.
PHM turut menegaskan bahawa ramai pesakit yang pada awalnya hanya menunjukkan simptom ringan akhirnya dimasukkan ke hospital kerana keadaan mereka merosot dengan cepat.
Hal ini berlaku apabila virus influenza merebak ke paru-paru atau sistem saraf yang menyebabkan radang dan kegagalan fungsi organ penting dalam badan.
Justeru, amat penting untuk kita mengenal pasti tanda-tanda awal influenza yang berbahaya seperti yang dikongsikan di laman Facebook Public Health Malaysia (PHM) agar rawatan dapat diberikan secepat mungkin.
Ramai yang tidak sedar bahawa beberapa gejala serius boleh menjadi petanda awal kepada komplikasi serius. Influenza mungkin bermula sebagai selesema biasa.
Tetapi jika dibiarkan tanpa perhatian, ia boleh membawa maut. Berikut merupakan enam gejala bahaya influenza yang perlu anda awasi dengan teliti.
Demam merupakan tindak balas semula jadi tubuh ketika melawan jangkitan. Namun apabila suhu badan meningkat terlalu tinggi dan melebihi 39°C serta tidak menurun selepas beberapa hari ia boleh menjadi tanda amaran yang serius.
Keadaan ini menunjukkan bahawa tubuh sedang berusaha keras melawan jangkitan yang mungkin sudah merebak atau menjadi lebih agresif.
Jika demam tetap berlarutan walaupun selepas mengambil ubat penurun panas, ini menandakan sistem imun tidak lagi mampu menahan tekanan jangkitan yang sedang berlaku.
Dalam sesetengah kes, suhu tinggi yang berpanjangan boleh menjadi petunjuk kepada komplikasi seperti radang paru-paru (pneumonia) atau jangkitan bakteria sekunder yang menyerang saluran pernafasan.
Oleh itu, jangan sesekali mengambil mudah demam yang tidak reda. Segera dapatkan pemeriksaan doktor kerana rawatan awal mampu mengelakkan keadaan menjadi lebih parah dan menyelamatkan nyawa.
2. Sesak nafas
Antara gejala bahaya demam influenza yang tidak boleh diambil ringan ialah apabila pesakit mengalami kesukaran bernafas, nafas menjadi pendek atau terasa cepat semput walaupun melakukan aktiviti ringan.
Dalam sesetengah kes, pesakit juga mungkin mengeluarkan bunyi wheezing semasa bernafas iaitu bunyi siulan halus menandakan saluran pernafasan sedang sempit.
Ini boleh menunjukkan bahawa virus influenza telah mula menyerang paru-paru dan menyebabkan radang paru-paru (pneumonia).
Jika keadaan ini berlaku, segera dapatkan rawatan di hospital kerana sesak nafas boleh menjadi semakin teruk dalam masa yang singkat dan mungkin memerlukan bantuan oksigen.
Walaupun influenza biasanya menyerang sistem pernafasan, terdapat juga jenis virus influenza yang juga memberi kesan kepada sistem pencernaan.
Apabila pesakit mula mengalami muntah dan cirit-birit berulang, risiko dehidrasi akan meningkat dengan cepat terutamanya pada kanak-kanak dan warga emas.
Dehidrasi boleh menyebabkan tubuh kehilangan garam mineral penting, tekanan darah menurun dan fungsi organ terganggu.
Tanda-tanda seperti bibir kering, air kencing sedikit atau rasa pening menunjukkan tubuh kekurangan cecair. Jika keadaan ini berlarutan, pesakit perlu mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital untuk menstabilkan semula keadaan tubuh.
4. Keliru
Salah satu gejala bahaya yang sering terlepas pandang ialah apabila pesakit mula menunjukkan tanda-tanda kekeliruan, tidak fokus atau terlalu mengantuk hingga sukar dibangunkan.
Keadaan ini bukan sekadar keletihan biasa tetapi boleh menandakan bahawa virus influenza telah menjejaskan sistem saraf atau otak dan menyebabkan radang otak (ensefalitis).
Pada kanak-kanak pula, gejala ini mungkin muncul dalam bentuk rengekan yang berpanjangan dan sukar ditenangkan. Mereka juga mungkin tidak mahu makan atau bermain seperti biasa.
Dalam keadaan yang lebih serius, kanak-kanak boleh hilang tindak balas apabila dipanggil. Jika situasi ini berlaku, segera dapatkan bantuan perubatan kerana jangkitan yang menjejaskan otak boleh menjadi sangat berbahaya dalam masa yang singkat.
Sakit dada ketika menarik nafas dalam atau rasa ketat di bahagian dada juga merupakan tanda amaran yang serius. Ia mungkin menandakan keradangan pada paru-paru atau tekanan yang berlebihan pada otot dada akibat jangkitan.
Pesakit tidak seharusnya mengabaikan simptom ini kerana ia boleh membawa kepada komplikasi seperti pneumonia yang teruk atau kegagalan pernafasan.
Jika anda mengalami sakit dada berserta demam atau batuk berpanjangan, segera ke hospital untuk pemeriksaan lanjut sebelum keadaan menjadi lebih serius.
6. Sawan
Dalam kes yang tertentu terutamanya di kalangan kanak-kanak, demam tinggi akibat influenza boleh mencetuskan sawan demam (febrile seizure).
Sawan boleh muncul dalam bentuk tubuh kaku, mata terbeliak atau kehilangan kesedaran selama beberapa minit. Walaupun ia kadangkala berhenti dengan sendiri, keadaan ini tetap berisiko tinggi dan memerlukan penilaian segera oleh doktor.
Sawan juga boleh menjadi tanda bahawa jangkitan telah merebak ke otak atau menyebabkan radang sistem saraf pusat. Jika anak anda atau mana-mana pesakit influenza menunjukkan tanda-tanda kejang jangan panik, pastikan mereka dalam posisi selamat dan segera bawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Sebagai kesimpulan, ramai yang menganggap influenza sekadar selesema biasa tetapi hakikatnya penyakit ini mampu menyebabkan komplikasi serius sekiranya diabaikan.
Memantau setiap perubahan gejala dan mendapatkan rawatan awal adalah langkah paling penting dalam mencegah risiko yang tidak diingini.
Jika anda, anak atau ahli keluarga menunjukkan mana-mana tanda influenza yang bahaya seperti di atas segera dapatkan rawatan perubatan.
Ingat, influenza bukan sekadar batuk dan demam. Ia boleh menjadi ancaman yang senyap namun mampu dicegah dengan perhatian dan tindakan pantas.
BACA : Jangan Panik, Ini Cara Berlindung Ketika Puting Beliung Melanda