Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Majlis Amanat Perdana Integriti Nasional (MAPIN) & Penyampaian Anugerah Integriti, Governans & Antirasuah (AIGA) 2025
PUTRAJAYA, 22 Oktober 2025 – Institut Integriti Malaysia (IIM) hari ini menganjurkan Majlis Amanat Perdana Integriti Nasional (MAPIN) dan Penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025 bertempat di Putrajaya. Majlis ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. MAPIN 2025 ini buat julung kali diadakan sebagai pembuka tirai kepada Sambutan Bulan Integriti Nasional yang disambut secara tahunan pada setiap bulan November.
YAB Perdana Menteri juga telah menyampaikan Anugerah Perdana Menteri kepada dua (2) organisasi dari sektor swasta dan sektor awam yang telah menjadikan inisiatif pembudayaan integriti, governans dan antirasuah agenda utama dalam pengoperasian organisasi.
Anugerah Perdana Menteri (APM) ini telah dinilai oleh tokoh-tokoh korporat awam seperti YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Prof. Dr. Noorul Ainur Mohd Nur, YBhg. Tan Sri Arpah binti Abdul Razak, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sulaiman Mahbob bagi sektor awam manakala YBhg. Tan Sri Dr. Ismail bin Haji Bakar, YBhg. Tan Sri Abdul Rashid Hussain, YBhg. Tan Sri Abdul Wahid bin Omar, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin bin Syed Mohamed Tahir Dan YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed bagi sektor swasta.
Sebagai kemuncak majlis, sebanyak 19 organisasi yang telah dianugerahkan Anugerah Emas, Anugerah Perak dan juga Anugerah Gangsa. Organisasi ini telah menunjukkan kecemerlangan dalam amalan integriti dan tadbir urus terbaik.
Majlis turut dihadiri oleh barisan menteri kabinet, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha, Ahli Lembaga Pengarah IIM, serta wakil-wakil tertinggi agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta dari seluruh negara. Kehadiran tokoh-tokoh ini menggambarkan komitmen padu kepimpinan negara terhadap usaha memperkukuh nilai integriti dan tadbir urus yang berakauntabiliti dalam sistem pentadbiran negara.