Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sidang Kemuncak ASEAN: LLM, Syarikat Konsesi Lebuh Raya Beri Kerjasama Penuh Kepada PDRM Dalam Pengurusan Trafik
Sejajar dengan saranan YB Menteri Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi lebuh raya bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pengurusan trafik berjalan lancar sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 28 Oktober 2025.
Sidang kemuncak berprestij ini bakal menghimpunkan Ketua-Ketua Negara, Ketua-Ketua Kerajaan serta delegasi berprofil tinggi dari seluruh rantau dan dunia.
Sebagai agensi penyelia operasi lebuh raya negara, LLM telah mengambil langkah awal dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama PDRM, agensi-agensi penguatkuasaan lain serta syarikat konsesi lebuh raya bagi melaksanakan pelan pengurusan trafik komprehensif sepanjang tempoh persidangan.
LLM turut memastikan semua sistem sokongan trafik di lebuh raya seperti Papan Tanda Elektronik (VMS), Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan Pusat Pengurusan Trafik (TMC) berada dalam keadaan optimum serta bersedia sepenuhnya bagi menyokong operasi pemantauan dan kawalan trafik semasa.
Bagi menjamin kelancaran perjalanan antara lapangan terbang dan pusat bandar, kerja-kerja penyelenggaraan atau pembinaan yang melibatkan penutupan lorong di lebuh raya utama akan dihentikan sementara waktu kecuali bagi kerja-kerja yang melibatkan kes-kes kecemasan sahaja bermula 23 Oktober 2025 sehingga 29 Oktober 2025 .
1. Merancang perjalanan lebih awal serta menyemak status trafik semasa melalui saluran rasmi.
2. Mematuhi semua arahan dan isyarat yang dikeluarkan oleh pihak polis dan pasukan peronda lebuh raya.
3. Peka terhadap pengumuman rasmi berhubung sebarang penutupan atau lencongan sementara di laluan utama sekitar Kuala Lumpur antara 23 hingga 28 Oktober 2025.
Untuk maklumat lanjut atau laporan trafik semasa di lebuh raya, orang ramai boleh melayari media sosial rasmi LLM dan syarikat konsesi lebuh raya, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM (TMC) di talian bebas tol 1-800-88-7752.