Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kenapa AS, China & Negara Besar Lain Berminat Dengan ASEAN

Sofea
as china asean
Kredit: AFP

Kenapa AS, China & Negara Besar Lain Berminat Dengan ASEAN

Hari ini (26 Oktober) menandakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bermula secara rasmi di Malaysia. Berlangsung sehingga 28 Oktober ini, mata dunia kini terarah ke Kuala Lumpur kerana di sinilah berhimpunnya pemimpin-pemimpin utama dunia.

Untuk pengetahuan, ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Selain kehadiran para pemimpin negara anggota ASEAN, ramai juga yang mungkin tertanya-tanya mengapa kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China turut hadir serta menunjukkan minat mendalam terhadap ASEAN.

Selain sebagai rakan dialog rasmi, apakah kepentingan dan manfaat yang mereka peroleh dengan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN?

Justeru, artikel ini akan merungkai secara ringkas peranan dan keterlibatan kuasa-kuasa besar tersebut dalam arena kerjasama ASEAN.

Amerika Syarikat

Sebagai kuasa besar, penglibatan AS dalam ASEAN dilihat penting untuk memperkukuhkan lagi hubungan dengan negara-negara anggota. AS dan ASEAN telah menjalin kerjasama erat selama hampir 50 tahun dalam ruang lingkup yang luas dan mendalam.

Ia meliputi kerjasama dalam hal ehwal luar negeri, ekonomi, digital dan dasar siber, teknologi, tenaga, perdagangan, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan pertahanan.

Negara itu bekerjasama rapat dengan ASEAN melalui sidang kemuncak pemimpin, mesyuarat menteri, bengkel teknikal dan forum lain berkaitan pertumbuhan ekonomi serantau. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyelesaikan ancaman dan cabaran geopolitik agar tidak menjejaskan kemakmuran.

ASEAN telah meningkatkan tahap hubungan dengan AS dalam Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun 2022. Sejak itu, AS terus menzahirkan hasil yang positif kepada rantau ini dengan melaksanakan 100 peratus komitmen di bawah Pelan Tindakan 2021-2025 bersama ASEAN.

Selain itu, kerjasama AS-ASEAN juga berkait dengan kepentingan lebih luas melibatkan faktor lokasi Asia Tenggara yang strategik dan demografi yang memberangsangkan. Hubungan ini turut menjadi sebahagian daripada persaingan geopolitik dengan China dalam menentukan pengaruh di rantau Indo-Pasifik.

as china asean
Kredit: Bernama

Dari sudut ekonomi, AS melihat ASEAN menawarkan peluang yang signifikan dalam sektor perdagangan, komersial dan pelaburan kerana populasi yang celik teknologi serta pertumbuhan ekonomi yang pesat.

Negara-negara Asia Tenggara secara kolektif merupakan ekonomi kelima terbesar di dunia dan satu pertiga perdagangan global melalui Laut China Selatan. Prospek pertumbuhan rantau ini juga dilihat AS sebagai amat memberangsangkan memandangkan hampir dua pertiga daripada 700 juta penduduknya berusia bawah 30 tahun.

AS kini merupakan sumber pelaburan langsung asing terbesar di rantau ini dengan lebih 6,000 syarikatnya beroperasi di Asia Tenggara.

Di samping itu, pelaburan dan perdagangan dengan Asia Tenggara ketika ini turut menyokong sebanyak 625,000 peluang pekerjaan di Amerika Syarikat.

ASEAN juga merupakan pasaran eksport kelima terbesar bagi produk makanan dan pertanian AS, manakala ekonomi digital rantau ini dijangka mencecah AS$2 trilion menjelang 2030.

Secara ringkasnya, AS berminat dengan ASEAN untuk mengukuhkan keselamatan, memperkasa daya saing dan meningkatkan kemakmuran.

China

Sama seperti AS, China turut berminat dengan ASEAN disebabkan oleh aspek persaingan geopolitik dalam menentukan pengaruh di rantau ini.

Dalam bidang politik, kerjasama ASEAN-China juga melibatkan dialog peringkat tinggi dan pertukaran lawatan secara tetap. China menganggap ASEAN sebagai ‘jiran rapat’ dengan falsafah pembangunan yang sama dan kepentingan yang saling berkaitan.

Baru-baru ini, jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun berkata pertukaran peringkat tinggi antara China dan ASEAN semakin kerap dan ia memupuk kepercayaan politik bersama serta mengukuhkan momentum pembangunan bersepadu.

Selain itu, China juga melihat ASEAN sebagai satu blok yang mempunyai potensi perdagangan yang besar.

BACA JUGA: Hanya Pemerhati, Kenapa Timor-Leste Belum Jadi Anggota ASEAN?

Statistik terkini menunjukkan bahawa dalam tiga suku pertama tahun ini, jumlah import dan eksport China dengan ASEAN bernilai 5.57 trilion yuan. Nilai tersebut merupakan peningkatan sebanyak 9.6 peratus dari tahun ke tahun.

Ia sekaligus menunjukkan bahawa ASEAN dan China menjadi rakan dagangan utama masing-masing.

Malah, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perdagangan dan pelaburan antara China dan 10 negara anggota ASEAN telah berkembang dengan ketara.

Menurut General Administration of Customs (GAC), ASEAN adalah rakan dagang terbesar China bagi barang perantaraan (intermediate goods), dengan perdagangan dua hala dalam kategori tersebut sebanyak AS$576.2 bilion pada 2023.

Kredit: CFP

China dan ASEAN juga telah memperdalam kerjasama dalam sektor seperti tenaga hijau dan elektronik pengguna. Hal ini termasuk eksport bateri litium dan sel solar China ke ASEAN dan import bahagian peralatan audio dan video.

Sementara itu, ASEAN kekal sebagai sumber import produk pertanian dan tenaga yang penting untuk China.

Hampir semua import minyak sawit China datang dari Indonesia dan Malaysia. Menurut Peta Perdagangan ICT, import China bagi lemak dan minyak haiwan, sayur-sayuran atau mikrob pula berjumlah AS$8.12 bilion.

Negara seperti Indonesia dan Myanmar juga merupakan antara sumber terbesar arang batu dan bijih timah China, dengan import bahan api mineral, minyak dan produk penyulingan mencecah AS$72.44 bilion pada 2023.

Kesimpulannya, ASEAN bukan sahaja penting kepada pertumbuhan ekonomi China, tetapi juga memainkan peranan strategik dalam kedudukan kuasa besarnya di rantau Indo-Pasifik.

Jepun

Negara matahari terbit ini juga mempunyai sejarah yang panjang dengan ASEAN. Sejak lebih 50 tahun lalu, pelbagai kerjasama telah dicapai melalui ASEAN, sekaligus mengukuhkan politik, keselamatan dan ekonomi di rantau ini.

ASEAN dan Jepun menjalin hubungan dialog tidak rasmi buat pertama kalinya pada tahun 1973, sebelum ia diadakan secara rasmi pada Mac 1977 melalui penganjuran Forum ASEAN-Jepun.

Jepun juga menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) pada Julai 2004 dan melantik seorang Duta Besar ke ASEAN yang berpusat di Jakarta pada Julai 2010.

Dalam pada itu, Misi Jepun ke ASEAN pula ditubuhkan pada 26 Mei 2011.

Jepun melihat ASEAN sebagai sebuah rantau yang strategik kerana menjadi pusat laluan utama Indo-Pasifik, pusat pertumbuhan ekonomi masa hadapan serta hab kerjasama pelbagai lapisan yang menempatkan ASEAN sebagai peneraju dalam kerangka hubungan serantau.

Menurut kajian bertajuk The Evolution of ASEAN-Japan Economic Cooperation oleh Narongchai Akrasanee dan Apichart Prasert, asas hubungan Jepun dengan ASEAN sentiasa berteraskan perdagangan dan pelaburan.

Kredit: Bernama

Struktur dan perdagangan antarabangsa dan pelaburan Jepun secara umumnya bergantung kepada negara-negara ASEAN sebagai sumber bahan mentah serta pasaran bagi produk Jepun.

Selain itu, laluan perkapalan yang melalui rantau ASEAN adalah amat penting untuk ekonomi Jepun. Negara itu turut melihat Asia Tenggara sebagai faktor penting dalam usaha menyelesaikan isu Utara-Selatan iaitu masalah jurang antara negara maju dengan negara membangun.

Jepun juga menganggap keselamatan dan kestabilan rantau ini adalah mustahak kepada keselamatan menyeluruh untuk negaranya.

Kajian itu juga menyebut bahawa corak hubungan ASEAN-Jepun telah berubah dari semasa ke semasa. Bermula daripada manfaat ekonomi, kepada usaha mempererat persefahaman melalui diplomasi ‘hati ke hati’, kemudian kepada bantuan kewangan sebagai alat memupuk kestabilan ekonomi dan politik dan kini bergerak ke arah kerjasama serantau sebagai rakan strategik.

India

India memberi tumpuan kepada hubungan yang lebih menyeluruh dengan ASEAN selaras dengan perubahan besar dalam senario politik dan ekonomi dunia sejak awal 1990-an serta usaha negara itu menuju ke arah liberalisasi ekonomi.

Fokus negara itu yang mencari ruang ekonomi lebih luas telah membawa kepada penggubalan Dasar Pandang ke Timur. Kemudian, ia berkembang menjadi Dasar Bertindak ke Timur, yang lebih dinamik dan berorientasikan tindakan.

Hubungan India dengan ASEAN merupakan salah satu tonggak utama dasar luar India dan menjadi asas kepada Dasar Bertindak ke Timur.

as china asean
Kredit: Bernama

Peningkatan hubungan ini kepada tahap Perkongsian Strategik pada tahun 2012 adalah hasil perkembangan kerjasama sejak India menjadi Rakan Sektoral ASEAN pada tahun 1992, Rakan Dialog pada tahun 1996 dan Rakan Sidang Kemuncak pada tahun 2002.

Negara itu juga melihat kerjasama dengan ASEAN untuk merangka tindak balas yang berasaskan penyelarasan, kerjasama serta perkongsian pengalaman di pelbagai peringkat.

Secara keseluruhan, penglibatan negara-negara besar dalam ASEAN mempunyai kepentingan yang tersendiri. Namun dalam masa yang sama, ia juga dapat memberikan manfaat kepada negara-negara anggota ASEAN, khususnya dalam aspek ekonomi, keselamatan dan pembangunan serantau.

Sumber: U.S. Mission to ASEAN, Ministry of Foreign Affairs China, China Briefing, Xinhua, Ambassador of Japan, ASEAN, Ministry of External Affairs India