Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Ini Beza EV, HEV, PHEV & FCEV Yang Ramai Tak Tahu

suhaila
Ini Beza EV, HEV, PHEV dan FCEV Yang Ramai Tak Tahu
imageFX

Masih Guna Petrol? Ini Beza EV, HEV, PHEV dan FCEV Yang Ramai Tak Tahu

Masih guna kereta petrol biasa? Mungkin sudah tiba masanya untuk anda mula mengenali dunia automotif baharu yang kini semakin dikuasai oleh teknologi elektrik dan hibrid.

Industri automotif global sedang berubah dengan pantas. Enjin pembakaran dalaman yang selama ini menjadi nadi utama kenderaan mula digantikan dengan sistem berkuasa bateri, motor elektrik malah ada yang menggunakan gas hidrogen sebagai sumber tenaga utama.

Perubahan ini bukan sekadar gaya hidup moden tetapi juga langkah besar menuju ke arah dunia yang lebih hijau dan lestari.

Jika dahulu kita hanya memikirkan tentang CC enjin dan kadar penggunaan petrol, kini istilah seperti EV, HEV, PHEV dan FCEV menjadi topik utama dalam perbincangan peminat automotif.

Malah jenama besar seperti Toyota, Tesla, BYD dan Hyundai sedang berlumba-lumba memperkenalkan model baharu berasaskan teknologi elektrik.

Bagi pengguna pula, kepelbagaian jenis kenderaan ini boleh jadi sesuatu yang mengelirukan terutama apabila semua menjanjikan kecekapan tenaga dan penjimatan bahan api. Tapi apa sebenarnya beza antara semua singkatan EV, HEV, PHEV dan FCEV ini?

Sebelum anda membuat keputusan membeli kereta baharu, eloklah faham bagaimana setiap teknologi berfungsi, beza dan apa kelebihan serta kekurangannya.

Sama ada kereta enjin biasa (ICE), mild hybrid (MHEV), hibrid (HEV), plug-in hybrid (PHEV), elektrik penuh (EV) atau hidrogen (FCEV), masing-masing mempunyai karakter tersendiri dan sesuai untuk gaya hidup berbeza.

Jadi, mari kita kenali dengan lebih dekat dunia kereta moden yang bakal mendominasi jalan raya dalam beberapa tahun akan datang.

1. ICE – Internal Combustion Engine (Kereta Enjin Biasa)

Kereta jenis ini merupakan model paling banyak digunakan di seluruh dunia sejak lebih seabad lalu.

ICE atau Internal Combustion Engine ialah kenderaan yang menggunakan enjin pembakaran dalaman, sama ada berasaskan petrol atau diesel.

Dalam sistem ini, bahan api dibakar di dalam enjin untuk menghasilkan tenaga mekanikal yang menggerakkan kenderaan. Antara model yang tergolong dalam kategori ini termasuklah Perodua Myvi, Proton Saga dan Toyota Vios.

Kelebihan utama kereta jenis ini ialah harganya yang lebih mampu milik, mudah diselenggara serta mempunyai rangkaian stesen minyak dan pusat servis yang meluas.

Namun begitu, ia menggunakan bahan api dalam jumlah yang lebih tinggi dan menghasilkan pelepasan karbon yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Dalam jangka panjang, kos minyak juga boleh menjadi beban tambahan kepada pemiliknya.

EV, HEV, PHEV atau FCEV? Ini Beza Setiap Jenis Kereta Moden Sekarang

2. MHEV – Mild Hybrid Electric Vehicle

MHEV ialah versi ringan bagi kereta hibrid yang kini semakin popular. Ia masih menggunakan enjin petrol konvensional tetapi turut dilengkapi dengan motor elektrik kecil yang membantu semasa pecutan atau ketika sistem memerlukan tambahan kuasa.

Tidak seperti kereta elektrik penuh, MHEV tidak boleh bergerak menggunakan tenaga elektrik semata-mata dan tidak perlu dicas.

Sistem ini berfungsi untuk mengurangkan tekanan ke atas enjin utama sekali gus menjimatkan sedikit penggunaan bahan api.

Contoh model seperti Proton X90 dan beberapa varian Honda Civic e:HEV yang menggunakan sistem sebegini.

Walaupun penjimatan bahan api tidak setara dengan kereta hibrid penuh, MHEV tetap menjadi pilihan menarik bagi mereka yang mahukan prestasi lancar, penjimatan sederhana dan teknologi moden tanpa memerlukan proses mengecas bateri.

3. HEV – Hybrid Electric Vehicle

Manakala HEV atau kereta hibrid pula merupakan gabungan antara enjin petrol dan motor elektrik yang bekerja secara bergilir-gilir bergantung kepada keadaan pemanduan.

Dalam situasi tertentu seperti pemanduan perlahan di bandar, motor elektrik akan digunakan bagi menjimatkan bahan api manakala enjin petrol akan mengambil alih apabila kelajuan meningkat.

Keunikan kereta ini ialah ia tidak perlu dicas secara manual. Ini kerana baterinya dicas semula secara automatik melalui sistem regenerative braking iaitu tenaga yang dijana ketika membrek akan digunakan untuk mengecas bateri.

Model seperti Toyota Corolla Cross Hybrid dan Honda City RS e:HEV menjadi contoh terbaik bagi teknologi ini. HEV menawarkan keseimbangan yang baik antara prestasi, penjimatan bahan api dan penjagaan alam sekitar.

Namun begitu, harga pembeliannya lebih tinggi daripada kereta biasa dan sistemnya yang lebih kompleks memerlukan kepakaran khusus dalam penyelenggaraan.

4. PHEV – Plug-in Hybrid Electric Vehicle

PHEV pula boleh dianggap sebagai evolusi kepada teknologi hibrid. Ia mempunyai dua sumber tenaga utama iaitu enjin petrol dan motor elektrik dengan bateri yang lebih besar.

Berbeza dengan HEV, kereta jenis ini boleh dicas menggunakan palam di rumah atau di stesen pengecas awam. Dalam mod elektrik penuh, PHEV mampu bergerak antara 30 hingga 60 kilometer tanpa menggunakan petrol.

Ini menjadikannya ideal untuk perjalanan harian ke tempat kerja atau aktiviti dalam bandar.

Apabila kuasa bateri habis, enjin petrol akan mengambil alih secara automatik dan membolehkan perjalanan diteruskan tanpa gangguan.

Antara contoh model popular ialah Volvo XC60 Recharge dan BMW 330e. Walaupun PHEV menawarkan fleksibiliti yang tinggi serta penjimatan minyak yang ketara jika dicas secara konsisten, ia mempunyai harga permulaan yang lebih tinggi dan berat tambahan kerana menampung dua sistem kuasa dalam satu kenderaan.

5. EV – Electric Vehicle (Kereta Elektrik Penuh)

Kereta elektrik penuh atau EV pula merupakan model yang semakin mendapat sambutan di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Model seperti Tesla Model 3, BYD Atto 3, Hyundai Ioniq 5 dan Ora Good Cat menjadi pilihan ramai kerana ia menggunakan motor elektrik sepenuhnya tanpa sebarang enjin pembakaran dalaman.

Kenderaan jenis ini dikuasakan oleh bateri berkapasiti besar yang perlu dicas sama ada di rumah atau di stesen pengecas awam.

Dengan cas penuh, EV moden mampu bergerak antara 300 hingga 600 kilometer bergantung kepada model dan kapasiti baterinya.

Kelebihan terbesar EV ialah ia tidak menghasilkan sebarang pelepasan karbon sekali gus menjadikannya mesra alam dan senyap ketika dipandu.

Kos operasi juga jauh lebih rendah kerana caj elektrik lebih murah daripada petrol dan penyelenggaraan yang lebih mudah.

Tiada minyak enjin, tiada ekzos dan komponen bergerak yang minimum. Walau bagaimanapun, cabaran utama EV ialah masa mengecas yang lebih lama dan infrastruktur pengecasan yang masih belum cukup meluas di sesetengah kawasan.

6. FCEV – Fuel Cell Electric Vehicle (Kereta Elektrik Hidrogen)

FCEV atau kereta elektrik berasaskan sel bahan api hidrogen ialah antara teknologi yang paling canggih dalam dunia automotif masa kini.

Ia masih sebuah kereta elektrik tetapi tidak menggunakan elektrik yang dicas dari plug. Sebaliknya, ia menggunakan gas hidrogen yang disimpan dalam tangki khas.

Apabila gas ini bertindak balas dengan oksigen dalam fuel cell, ia menghasilkan tenaga elektrik untuk menggerakkan motor kereta.

Hasil sampingan daripada proses ini hanyalah wap air, menjadikan FCEV sebagai antara kenderaan paling mesra alam di dunia. Model seperti Toyota Mirai, Hyundai Nexo dan Honda Clarity Fuel Cell merupakan contoh terawal teknologi ini.

Antara kelebihannya termasuk masa pengisian yang singkat iaitu hanya sekitar 3 hingga 5 minit serta jarak pemanduan yang panjang. Ianya mampu mencapai hingga 700 kilometer untuk sekali isi.

Namun kelemahan utama FCEV ialah kekurangan stesen hidrogen terutamanya di rantau Asia Tenggara selain kos pengeluaran dan penyelenggaraan yang masih tinggi.

Secara keseluruhannya, setiap jenis kenderaan yang ada di pasaran hari ini hadir dengan kelebihan dan kekurangannya tersendiri.

Bagi mereka yang mementingkan kos rendah dan kemudahan servis, kereta ICE atau MHEV mungkin pilihan terbaik ketika ini.

Jika anda tinggal di kawasan bandar dan ingin menjimatkan bahan api tanpa perlu risau tentang pengecasan, HEV adalah pilihan seimbang.

Bagi pengguna yang mahukan prestasi elektrik tetapi masih ingin fleksibiliti bahan api, PHEV adalah jawapan paling ideal.

Sementara itu, EV pula sesuai untuk mereka yang ingin menyokong gaya hidup hijau dan tidak kisah meluangkan masa untuk mengecas.

Bagi pencinta teknologi masa depan yang berani mencuba inovasi baharu, FCEV mungkin menjadi simbol masa depan mobiliti bersih dunia.

Apa pun pilihan anda, dunia automotif kini semakin beralih ke arah mobiliti lestari, pintar dan mesra alam. Tidak mustahil dalam masa beberapa tahun akan datang, jalan raya kita akan dikuasai oleh kenderaan elektrik sepenuhnya.

Sumber : ecity.solarisbus, openroadautogroup

BACA : Sistem Saman Baharu 2026: Bayar Cepat, Jimat Banyak