Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tertanya-Tanya, Rupanya Ini Beza Deepavali & Diwali Yang Ramai Tak Tahu

Beza Deepavali & Diwali
Kredit: Bernama

Hari Deepavali merupakan salah satu perayaan penting bagi masyarakat India beragama Hindu di seluruh dunia.

Iklan

Ia turut dikenali sebagai “pesta cahaya” yang melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan mengalahkan kejahatan dan ilmu mengatasi kejahilan.

Menurut portal PBS, Deepavali disambut dengan pelbagai aktiviti dan pengisian termasuk daripada sudut ritual oleh penganut agama Hindu.

Dalam tempoh perayaan ini, aktiviti seperti menziarahi sanak saudara, mengadakan pertujukan bunga api, bersembahyang di kuil atau rumah masing-masing dan jamuan akan berjalan.

Selain itu, kita juga mengenali perayaan ini dengan pelbagai hiasan lampu minyak dan ‘kolam’ atau ‘rangoli’.

Biasanya, kita boleh melihat dekorasi ini di pusat beli-belah atau di rumah sahabat-sahabat yang menyambut Deepavali.

Sambutan perayaan Deepavali biasanya disambut mengikut kalendar Tamil pada hari ke-14 bulan Aipasi (antara bulan Oktober dan November).

Manakala Deepavali berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu ”Depa” yang bermaksud pelita atau cahaya dan ”Avali” iaitu siri atau sebarisan.

Apabila digabungkan, boleh membawa maksud satu siri atau sebarisan cahaya yang kemudian dikenali sebagai pesta cahaya.

Eh Mana Satu Yang Betul?

Kredit: Bernama

Namun, dalam banyak-banyak ucapan, ada juga yang menggunakan istilah “Happy Diwali”.

Bila tengok dua nama berbeza, mungkin ada antara kita yang tertanya-tanya sama ada kedua-duanya merujuk kepada perayaan yang sama.

Sebenarnya perkataan Diwali pula berasal dari perkataan Deepavali itu sendiri.

Beza Deepavali & Diwali

Kredit: Bernama

Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Nalina Nair sebelum ini berkongsi mengenai perbezaan Deepavali dan Diwali.

Jelasnya, masih ramai yang masih keliru dengan perbezaan penggunaan kedua-dua istilah ini, Deepavali dan Diwali.

Kongsinya, istilah Deepavali kebiasaannya banyak digunakan di Selatan India yang terdiri daripada masyarakat Tamil manakala Diwali pula digunakan oleh masyarakat di Utara India seperti Punjabi, Bengali.

Perkara sama juga pernah dikongsikan oleh penyampai radio, Mix Fm, Prem Shanker ketika ditemu bual oleh stesen radio Era Sarawak sebelum ini.

Menurut beliau, nenek moyang masyarakat India di Malaysia kebanyakannya berasal dari kawasan Selatan India.

Mereka lazimnya bertutur dalam bahasa Tamil dan menggunakan istilah Deepavali untuk perayaan tersebut.

Manakala Diwali pula adalah istilah yang digunakan oleh penduduk yang tinggal di kawasan Utara India.

Secara umumnya, Deepavali dan Diwali adalah perayaan yang sama namun dengan beberapa perbezaan termasuk penggunaan istilah daripada dua wilayah berbeza di India.

Di Malaysia, majoriti masyarakat India berasal dari kawasan Selatan India dan berbahasa Tamil, maka ucapan Deepavali lebih sering digunakan.




Intipati
  • Deepavali ialah perayaan Hindu yang dikenali sebagai pesta cahaya dan disambut masyarakat India.
  • Istilah Deepavali lazim digunakan masyarakat India Selatan, manakala Diwali digunakan di India Utara.
  • Di Malaysia, ucapan Deepavali lebih kerap digunakan kerana majoriti masyarakat India berketurunan Selatan India.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan