Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Konflik Sudan: Ini Apa Yang Perlu Anda Tahu
Sudan kini menjadi tumpuan dunia susulan konflik saudara yang kembali melanda negara itu.
Terbaru, lebih 460 pesakit dan waris ditemukan maut di sebuah hospital bersalin di El Fasher, Sudan.
Manakala lima sukarelawan Bulan Sabit Merah (IFRC) terbunuh ketika menjalankan misi rasmi di Sudan.
Sehubungan itu, SK hari ini akan berkongsikan bagaimana konflik di Sudan ini tercetus.
Di manakah Sudan Terletak?

Sudan terletak di timur laut Afrika dan merupakan antara negara terbesar di benua itu, meliputi keluasan 1.9 juta kilometer persegi.
Negara ini bersempadan dengan tujuh negara serta Laut Merah, dan Sungai Nil yang melaluinya menjadikannya kawasan strategik penting.
Penduduknya majoriti beragama Islam, dengan bahasa rasmi Arab dan Inggeris.
Meskipun antara negara pengeluar emas, Sudan merupakan antara negara termiskin di dunia dengan pendapatan tahunan purata hanya AS$750 seorang pada 2022.
Bagaimanapun konflik dalaman itu memburukkan keadaan dengan Menteri kewangan Sudan berkata hasil negara telah merosot sebanyak 80 peratus tahun lalu.
Bagaimana Perang Saudara Berlaku

Segalanya bermula selepas kejatuhan bekas presiden Omar al-Bashir pada 2019, yang digulingkan selepas hampir tiga dekad memerintah.
Ketika itu, rakyat turun ke jalan menuntut demokrasi, dan tentera mengambil alih kuasa selepas penggulingan tampuk pemerintahan Bashir.
Susulan itu, satu kerajaan sementara yang dikongsi antara tentera dan orang awam telah dibentuk namun digulingkan semula melalui kudeta (rampasan kuasa) pada Oktober 2021.
Rampasan kuasa diketuai oleh dua individu iaitu Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, ketua angkatan tentera dan pemimpin de facto negara dan Timbalannya, Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo, ketua RSF yang lebih dikenali sebagai Hemedti.
Perbezaan Pendapat
Pada awalnya kedua-dua pemimpin ini bekerjasama, namun hubungan mula retak apabila muncul perbezaan pendapat mengenai pelan peralihan kepada pemerintahan awam dan isu penyatuan RSF ke dalam tentera.
Burhan mahu semua 100,000 anggota RSF diletakkan di bawah kawalan tentera rasmi, tetapi Hemedti menentang langkah itu kerana ia bakal melemahkan pengaruhnya.
Ketegangan memuncak pada 15 April 2023, apabila pertempuran besar meletus di ibu negara Khartoum, selepas RSF menggerakkan tenteranya di seluruh negara, dengan tindakan itu dianggap sebagai ancaman oleh tentera Sudan.
Tidak dapat dipastikan pihak mana yang memulakan serangan namun sejak itu, perang saudara mula tercetus.
Siapa Rapid Support Forces (RSF)?
RSF telah ditubuhkan pada 2013 dan berasal dari pasukan militan Janjaweed yang dahulunya pernah dituduh memerangi golongan pemberontak (etnik bukan Arab) di Darfur.
Dalam tempoh berkenaan, RSF didakwa terpalit dalam gerakan pembersihan etnik di wilayah.
Sejak penubuhannya, Jeneral Dagalo telah membina pasukan bersenjata yang kuat dan mampu campur tangan dalam beberapa konflik yang berlaku di Yaman dan Libya. Beliau turut memegang kepentingan ekonomi di Sudan dengan mengawal beberapa lombong emas.
RSF turut didakwa atas beberapa jenayah yang melibatkan pelanggaran hak asasi kemanusiaan. Antaranya pembunuhan beramai-ramai melibatkan 120 penunjuk perasaan pada Jun 2019.
Wilayah Kekuasaan

Pada Jun 2025, RSF mencapai kemenangan besar apabila menguasai wilayah di sempadan Sudan–Libya–Mesir, diikuti dengan penawanan El-Fasher pada Oktober.
Ia menjadikan mereka mengawal hampir seluruh wilayah Darfur dan sebahagian besar Kordofan.
Sejak perang bermula, Darfur menjadi antara kawasan paling teruk terjejas Pertubuhan seperti Human Rights Watch (HRW) dan UNICEF melaporkan kes rogol, pembunuhan beramai-ramai dan serangan terhadap penduduk bukan Arab.
Meskipun beberapa rundingan damai telah diadakan di Arab Saudi dan Bahrain, tetapi semuanya menemui jalan buntu.
Kini, tentera Sudan menguasai kawasan utara dan timur negara itu, manakala RSF mengawal hampir seluruh wilayah barat termasuk Darfur dan Kordofan.
Lebih 150,000 nyawa terkorban dan memaksa lebih 12 juta penduduk melarikan diri meninggal kediaman mereka untuk mencari tempat berlindung sejak konflik tercetus.
Sumber: BBC