Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hukuman FIFA Lebih Bersifat ‘Bermotif Politik’ – TMJ
KUALA LUMPUR — Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) mendakwa hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap tujuh pemain warisan negara sebagai tindakan bermotifkan politik dan bukan berasaskan undang-undang.
Baginda bertitah, FIFA tidak menggunakan peruntukan sebenar undang-undang terhadap tujuh pemain terlibat iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazábal dan Hector Hevel.
“FIFA terus menghukum para pemain dengan tidak menggunakan peruntukan sebenar undang-undang, sedangkan Artikel 22 dalam kod FIFA menyatakan bahawa hanya mereka yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan, dan perkara itu langsung tidak terpakai kepada para pemain.
“Dengan kata lain, hukuman yang dikenakan ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan lebih bersifat ‘bermotif politik’ berbanding sebab yang sebenar.
“Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising, tetapi saya memilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan berhabis-habisan demi para pemain, yang kini akan diteruskan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) — sebuah badan bebas,” titah baginda menerusi satu kenyataan di media sosial hari ini.
Pada Isnin, FIFA mengekalkan hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan atas kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen di bawah Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC).
Jawatankuasa Rayuan itu dalam kenyataan diterbitkan pada laman web rasmi FIFA mengesahkan bahawa ia telah menolak rayuan yang dibuat oleh FAM dan kesemua pemain terlibat.
Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CFH350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000).
Ketujuh-tujuh pemain berkenaan turut digantung selama 12 bulan daripada aktiviti berkaitan bola sepak.
Menurut FIFA, tindakan itu disahkan selepas mengkaji penyerahan dokumen dan mengadakan perbicaraan.
FAM dan para pemain terbabit mempunyai 10 hari untuk memohon penghakiman penuh dan 21 hari untuk memfailkan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).