Pelajar Malaysia Menang Pertandingan Seni Dunia Dengan “Wau Bulan”
Seorang pelajar Malaysia, Mohammad Faris Mohd Fairusham, mengharumkan nama negara apabila berjaya menjuarai kategori “Air” dalam pertandingan seni berprestij dunia, World of Wearable Art (WOW) yang berlangsung di New Zealand.
Kemenangan Faris menerusi karya menakjubkan bertajuk “Wau Bulan” bukan sahaja menarik perhatian juri. Malah, memukau penonton dengan kehalusan seni, nilai tradisi dan cerita di sebalik rekaannya.
https://www.instagram.com/worldofwearableart/
Untuk info, Faris telah menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Perdagangan di Te Herenga Waka – Victoria University of Wellington, melalui program dwi-ijazah bersama universiti di Malaysia.
Walaupun latar belakang akademiknya dalam bidang perdagangan, dia juga menyimpan minat yang tinggi terhadap dunia fesyen dan seni reka.
Gambar: World of Wearable Art (WOW)Busana Wau Bulan rekaan Faris menampilkan korset daripada batik tradisional Sarawak sebagai penghargaan kepada tempat kelahirannya.
Cabaran, pengorbanan & semangat tidak kenal lelah
Proses menyiapkan karya tersebut bukanlah sesuatu yang mudah. Faris hanya mempunyai tempoh masa yang singkat sebelum berangkat ke Colombia untuk program pertukaran pelajar.
Dalam kesibukan bekerja sambilan sebagai pekerja hotel pada syif malam, dia masih gigih menyiapkan ‘sayap’ busana yang besar dan kompleks.
“Saya pernah bawa salah satu sayap ke tempat kerja untuk siapkan pada waktu rehat. Memang tempoh yang sangat mencabar, tapi seronok,” katanya sambil ketawa.
Rakan baiknya, Matilda, pelajar seni bina dari Finland, turut membantu menyiapkan sentuhan terakhir serta memastikan busana itu selamat dihantar untuk penilaian.
Rekaan berinspirasikan warisan, dibuat dengan inovasi
Faris mendedahkan bahawa kebanyakan bahan digunakan dalam “Wau Bulan” sebenarnya berasal daripada bahan perabot seperti rotan dan perhiasan langsir emas yang dikitar semula. Sayapnya dibuat daripada batang rotan dan dihias dengan reben emas.
“Wau Bulan itu sendiri ialah satu hasil seni yang penuh simbolik, dan mempunyai keunikan tersendiri sebagai layang-layang tradisional. Saya mahu menghidupkannya dalam bentuk nyata.
“Saya mahu menggabungkan sebahagian identiti Malaysia itu dalam rekaan pakaian saya,” katanya.
Pada malam penganugerahan, Faris juga tampil bergaya mengenakan pakaian rekaannya sendiri yang turut diinspirasikan daripada tema “pahlawan”.
Rekaannya itu turut menggabungkan unsur budaya tempatan seperti struktur sayap yang menyerupai bumbung rumah Minangkabau.
Sementara kolar busana pula diinspirasikan daripada pakaian tradisional pahlawan Melayu, katanya seperti dikongsi dalam wawancara bersama Victoria University of Wellington.
Gambar: IG @tootdequesoPengalaman itu, katanya, merupakan antara detik paling bermakna dalam hidupnya.
“Saya rasa sangat dihargai dan dikelilingi oleh komuniti yang memahami erti seni. Ramai yang datang dan berkata, ‘awak akan jadi besar nanti’. Kata-kata itu benar-benar menyentuh hati,” ujarnya terharu.
Selepas kemenangan bersejarah itu, Faris bercadang untuk terus menetap di Wellington sehingga majlis graduasinya pada Disember ini, sebelum mempertimbangkan peluang bekerja atau menyertai WOW sekali lagi pada tahun depan.
BACA: Merdeka 118 Diiktiraf Bangunan Tinggi Terbaik Dunia
Sumber: IG @worldofwearableart, Victoria University of Wellington