Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

PRN Sabah: Mohamad Sahkan Tiada Pertembungan Kerusi BN-PH
PUTATAN (Bernama) — Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mengesahkan bahawa tiada pertembungan kerusi antara BN dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata walaupun masih terdapat perbincangan dalam BN sendiri berkenaan kerusi yang akan ditandingi, pertembungan pasti tidak akan berlaku antara dua parti yang menganggotai Kerajaan MADANI itu.
“Jentera BN pula perlu bergerak terus sampai pengundian 29 November bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dan Minum Petang Bersama Penduduk Kampung Contoh, di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, manakala tarikh penamaan calon pada 15 November serta tarikh pengundian awal 25 November.
Sementara itu, Mohamad mencadangkan supaya Ketua UMNO Bahagian Putatan Jeffrey Nor Mohamed dipilih sebagai calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat pada PRN Sabah.
Mohamad berkata dengan kesetiaan Jeffrey Nor dalam parti serta usahanya membina semula kekuatan UMNO di bahagian Putatan, beliau wajar diberi peluang menjadi calon.
“Kita menyokong Jeffrey Nor sebagai calon DUN Tanjung Keramat berikutan sokongan yang kuat daripada penduduk setempat, namun kita tunggu siapa yang akan diumumkan oleh pucuk pimpinan,” katanya.
Sumber: Bernama
BACA: PRN Sabah Ditetapkan Pada 29 Nov, Penamaan Calon 15 Nov – SPR
BACA: PRN Sabah: Ahli Parlimen Tuaran Cadang Hari Isnin Sebagai Hari Mengundi
BACA: Pembubaran DUN Sabah Buka Ruang Rakyat Beri Mandat Kepada Kerajaan Baharu