Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Polis Buka Kertas Siasatan Isu Video Tuduhan, Aibkan Anggota
Subang Jaya — Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berkenaan video tular yang mengaibkan dan berunsur tuduhan terhadap PDRM di media sosial.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat mengesahkan perkara berkenaan menerusi satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Facebook.
Difahamkan, video tersebut memaparkan tindakan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) semasa menjalankan tugas rondaan.
“Hasil siasatan awal mendapati rakaman tersebut dibuat semasa pemeriksaan dijalankan terhadap sebuah kenderaan
“Selain itu, pemeriksaan dijalankan dengan tertib mengikut peraturan yang ditetapkan dan semua individu yang terlibat dilepaskan
“Siasatan turut mendapati terdapat video lain yang memaparkan ulasan semula kejadian dengan membuat tuduhan yang mengaibkan terhadap anggota polis yang menjalankan pemeriksaan tersebut,” maklum beliau.
Jelasnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan berikutan melibatkan perbuatan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.
Dalam pada itu, pihak PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan, tuduhan atau ulasan melulu yang berisiko menjelaskan imej pasukan keselamatan serta menimbulkan kekeliruan awam.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu atau berunsur fitnah terhadap PDRM,” tegas beliau.
Pihak polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkenaan kejadian ini untuk tampil memberikan kerjasama.
Maklumat boleh disalurkan menerusi talian Pusat Kawalan Daerah, IPD Subang Jaya di 03-7862 7100 atau mana-mana balai polis berdekatan.
“Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” ujar beliau lagi.


Terdahulu, pempengaruh dan pengacara, Zhiddin Aziz menaikkan isu berkenaan dengan mengulas kedua video tersebut. Menurutnya, perbuatan ini bagi mendapatkan perhatian pihak PDRM terhadap isu berkenaan.
Menerusi ulasannya, tular di media sosial rakaman sekumpulan pemain bola sepak warganegara asing ditahan anggota PDRM berikutan tidak membawa dokumen pengenalan diri yang sah.
Susulan itu, sebuah video lagi yang mengulas keadaan tersebut dengan tuduhan berat terhadap anggota berkenaan tular.
BACA: Polis Siasat Dakwaan Remaja Perempuan OKU Dicabul Rakan Sekelas
BACA: WWC Akur Keluarkan Kategori Junior
BACA: Raih Untung Daripada Iklan Penipuan, MCMC Akan Panggil Meta Beri Penjelasan Rasmi
Sumber: Polis Diraja Subang Jaya, Zhiddin Aziz