Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KKM Tak Tolak Usaha Ambil Jururawat Dari Luar Negara
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa pihaknya terbuka untuk mengambil jururawat dari luar negara berikutan isu kekurangan jururawat yang berlaku di kebanyakan hospital tempatan.
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM tidak menolak usaha atau pilihan untuk mempertimbangkan jururawat dari luar negara jika menepati syarat-syarat yang ditetapkan.
“Syaratnya, kita perlu pastikan keupayaan dan kemahiran mereka mencapai standard. Ini juga termasuk dari sudut persoalan keselamatan dan kecekapan, termasuk sudut lain seperti budaya iaitu bahasa dan sebagainya. Semua itu kami pertimbangkan,” katanya.
Beliau menjawab soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse di Dewan Rakyat pada Selasa berhubung isu kekurangan jururawat di bandar dan luar bandar.
Menurut Dr Dzulkefly lagi, masalah kekurangan jururawat sentiasa menjadi pertimbangan dan keprihatinan KKM.
“Saya sangat sedar dengan realiti ini dan tidak mudah bekalan ini dapat kita pertingkatkan kerana mereka perlu masa sekurangnya dua tahun untuk diploma dan sebagainya.
“Oleh itu, perlu ada cara-cara untuk kita tangani kesenjangan itu dengan segera.
“Kalau ada permohonan yang jelas atau permohonan yang formal, pasti dapat kita pertimbangkan dengan segera, tetapi masih belum ada lagi permohonan yang formal,” katanya.
Sebelum itu, beliau turut menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sik, Tuan Ahmad Tarmizi Sulaiman, berhubung bilangan petugas kesihatan di negeri Kedah
Ujarnya, sehingga 31 Ogos, seramai 19,324 orang petugas kesihatan telah berkhidmat di negeri Kedah yang meliputi 565 pakar perubatan, 2,538 pegawai perubatan, 4,883 jururawat dan 11,388 petugas-petugas dalam skim perkhidmatan yang lain termasuklah PPP, PPK dan sebagainya.
“Kekurangan petugas kesihatan yang berlaku berikutan kekangan dihadapi KKM dalam melaksanakan urusan pengambilan disebabkan oleh kekurangan keluaran graduan dalam bidang-bidang tertentu berdasarkan keperluan dan yang kita unjurkan.
“KKM akan terus berusaha bagi menarik minat petugas kesihatan untuk terus berkhidmat di fasiliti-fasiliti KKM khasnya di luar bandar,” katanya
Sumber: Parlimen Malaysia