Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

24 Usahawan Selangor, WP Kuala Lumpur Terima Anugerah Usahawan MARA (AURA)
KUALA LUMPUR — Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyampaikan anugerah kepada 24 usahawan dari Selangor dan Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur sebagai satu pengiktirafan tertinggi dalam kecemerlangan prestasi dalam sebuah majlis di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Anugerah Usahawan MARA (AURA) Peringkat Negeri yang mempertandingkan 12 kategori itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Hajah Rubiah Haji Wang.
Menerusi ucapan perasmiannya, beliau berkata seramai 7,378 usahawan Selangor dan WP Kuala Lumpur telah menerima manfaat menerusi pelbagai bentuk kemudahan MARA bermula 2024 hingga 2025.
“Jumlah keseluruhan daripada kemudahan ini dianggarkan melebihi RM180 juta, disalurkan sama ada dari segi pembiayaan, geran pembangunan perniagaan dan latihan keusahawanan.
“Usaha inilah yang membolehkan usahawan berskala kecil dan sederhana, hingga (mereka) berupaya memasarkan jenama serta produk ke luar negara menerusi program Gate to Global MARA,” maklum beliau.

Beliau turut berkata, peranan MARA dalam bidang keusahawanan melangkaui fungsi badan tersebut yang menyalurkan pembiayaan semata-mata.
“Perkara ini turut membuktikan bahawa MARA bukan sekadar agensi pembiayaan, tetapi pemangkin sebenar kepada pembentukan ekosistem keusahawanan Bumiputera yang mampan.
“Kami menyediakan serba-serbi lengkap, mahu pun dari aspek pembangunan usahawan, pembangunan perniagaan dan ditambah dengan kemudahan sokongan menerusi pembiayaan, infrastruktur perniagaan dan khidmat nasihat,” tambah beliau.
Antara kategori yang dipertandingkan bagi edisi tahun ini termasuk Anugerah Usahawan Inspirasi Wanita, Anugerah Jenama Terbaik dan Anugerah Tokoh Usahawan MARA.
Dalam pada itu, tahun ini juga menyaksikan penambahan kategori baharu iaitu Anugerah Khas Usahawan Wakaf MARA MADANI.
Anugerah ini diperkenalkan sebagai usaha mengangkat nilai kedermawanan dan tanggungjawab sosial yang menyasarkan generasi akan datang menerusi program keusahawanan dan pendidikan MARA.
Sementara itu, Datuk Hajah Rubiah Haji Wang menegaskan bahawa anugerah yang disampaikan tidak hanya sebagai satu bentuk penghargaan. Malah, ia merupakan satu amanah dan dorongan kepada penerima bagi menggapai kejayaan yang lebih besar.