Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Usul Diluluskan, Kongres AS Arah Fail Epstein Didedahkan
Penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) pada Selasa meluluskan usul dengan majoriti besar untuk mendedahkan fail kerajaan berkaitan Jeffrey Epstein, selepas Presiden Donald Trump menarik balik penentangannya terhadap pembukaan dokumen mengenai skandal yang telah menggoncang politik, penguatkuasaan undang-undang serta golongan elit negara itu.
Memetik laporan AFP, Trump sebelum ini telah memberi tekanan kuat kepada sekutu-sekutunya di Kongres agar tidak membenarkan dokumen itu didedahkan kepada umum, namun pemimpin Republikan itu akhirnya akur pada hujung minggu lalu apabila jelas bahawa sebahagian besar ahli partinya bersedia untuk menentangnya.
Kongres hampir sebulat suara meluluskan Epstein Files Transparency Act yang mengarahkan penerbitan dokumen tidak sulit berkaitan siasatan terhadap operasi Epstein serta kematiannya dalam tahanan.
Penggubal undang-undang berpendapat orang ramai berhak mengetahui jawapan dalam kes yang melibatkan lebih 1,000 mangsa yang mendakwa menjadi mangsa eksploitasi.
Trump berkata dokumen tersebut akan mendedahkan kaitan tokoh-tokoh Demokrat berpengaruh dengan Epstein, namun beliau sendiri turut berdepan pemeriksaan rapi tentang hubungan persahabatannya selama bertahun-tahun dengan lelaki itu.
Rang undang-undang tersebut diluluskan di Dewan Perwakilan pada Selasa dengan hanya seorang menentang daripada 428 ahli yang mengundi dan Senat pula bersetuju untuk meluluskannya serta menghantar terus teks itu ke Rumah Putih tanpa undian kiraan tangan, sebaik sahaja diterima daripada dewan rendah.
Trump berjanji tidak akan menggunakan kuasa veto ke atas undang-undang tersebut, namun pemerhati politik di Washington tidak menjangkakan sebarang pendedahan besar akan berlaku dalam masa terdekat.
Jabatan Kehakiman mempunyai ruang budi bicara yang luas untuk menahan maklumat sekiranya pendedahannya boleh menjejaskan siasatan persekutuan yang sedang berjalan.
Sementara itu, Trump dalam kenyataan yang dikritik ramai minggu lalu, mengarahkan pegawai menyiasat hubungan Epstein dengan tokoh-tokoh Demokrat berprofil tinggi.
Situasi ini memperlihatkan perpecahan dalaman yang kebiasaannya tidak berlaku dalam barisan penyokong Trump, yang sebelum ini berkempen mahu mendedahkan fail berkenaan namun berubah sikap selepas mengambil alih jawatan, dengan menuduh Demokrat mempromosikan pembohongan.
Selepas beberapa usaha pemimpin Republikan untuk menyekat undian, semua ahli Demokrat dan empat ahli Republikan menandatangani petisyen pelepasan iaitu satu prosedur luar biasa yang memaksa rang undang-undang dibawa ke Dewan Perwakilan walaupun ditentang kepimpinan.
Trump pula pada Selasa menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kaitan Jeffrey Epstein.
“Saya telah menghalaunya dari kelab saya bertahun-tahun lalu kerana saya menganggap tingkah lakunya bermasalah,” katanya.
Sumber: AFP