Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

‘Gelombang Biru’ Di AS, Parti Demokrat Kuasai Kongres Sepenuhnya

Parti Demokrat
Kredit: AFP

Parti Demokrat berjaya menguasai sepenuhnya Kongres Amerika Syarikat (AS) selepas mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Pertengahan Penggal pada Selasa, sekali gus memberikan tamparan hebat kepada Presiden Donald Trump dan Parti Republikan pimpinannya, lapor AFP.

Kemenangan itu menyaksikan Parti Demokrat menguasai kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat, sekali gus memberikan mereka kuasa untuk menyekat agenda Trump serta menyiasat dakwaan rasuah sepanjang dua tahun terakhir pentadbirannya.

Menurut AFP, keputusan pengundian itu mencerminkan kemarahan mendalam rakyat terhadap kos sara hidup, tarif perdagangan dan peperangan Trump terhadap Iran yang menyebabkan harga bahan api melonjak serta meningkatkan rasa tidak puas hati terhadap Presiden yang sememangnya berdepan tahap populariti rendah.

Walaupun mempunyai sejarah mempertikaikan keputusan pilihan raya, Trump kali ini mengambil pendekatan lebih berdamai apabila memberitahu The New York Times bahawa beliau bersedia menerima apa jua keputusan dan berjanji untuk bekerjasama dengan Parti Demokrat.

“Saya benar-benar bersedia untuk menerima keputusan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa minit kemudian, pemimpin berusia 80 tahun itu memberikan bayangan mengenai pendekatannya terhadap usaha Parti Demokrat meluluskan undang-undang apabila memuat naik gambar topi besbol merah dengan perkataan “VETO” di media sosial.

Sementara itu, kejayaan penting Parti Demokrat di Senat dicatatkan di Kansas dan Iowa, masing-masing menjadi kerusi kelima dan keenam yang dirampas daripada Parti Republikan dalam gelombang kemenangan luar biasa yang dikenali sebagai gelombang biru.

Di Kansas, seorang paderi Methodist, Adam Hamilton menewaskan penyandang kerusi Parti Republikan, Roger Marshall, sekali gus menjadi calon Demokrat pertama dipilih ke Senat dari negeri konservatif itu sejak 1932.

Iowa pula tidak pernah memilih senator daripada Parti Demokrat sejak 2008, sekali gus menggambarkan sejauh mana parti itu berjaya menembusi kubu kuat Parti Republikan.

Kejayaan tersebut menyusul selepas kemenangan di Texas, South Carolina, North Carolina dan Ohio, apabila pengundi menolak calon Parti Republikan meskipun Trump berusaha secara intensif untuk meraih sokongan penyokongnya.

Intipati
  • Parti Demokrat menguasai Dewan Perwakilan dan Senat selepas pilihan raya pertengahan penggal AS.
  • Kemenangan di Kansas dan Iowa menjadi antara kejayaan penting Demokrat menembusi kubu Republikan.
  • Trump menyatakan kesediaan menerima keputusan, sebelum memuat naik imej bertulis “VETO” di media sosial.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan