Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

El-Sayed Cipta Kejutan Menang Pemilihan Awal Senat Demokrat Michigan

El-Sayed Cipta Kejutan
Kredit: BBC

El-Sayed Cipta Kejutan Menang Pemilihan Awal Senat Demokrat Michigan

WASHINGTON, 5 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Abdul El-Sayed memenangi pencalonan Parti Demokrat bagi kerusi Senat Amerika Syarikat (AS) di Michigan selepas mencipta kejutan dengan menewaskan Ahli Kongres Haley Stevens dalam pemilihan awal yang sengit, menurut Associated Press pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi.

El-Sayed akan berdepan bekas Ahli Kongres Parti Republikan Mike Rogers, yang meraih pencalonan partinya tanpa dicabar, pada pilihan raya pertengahan penggal yang dijadual berlangsung pada 3 Nov ini.

Kerusi berkenaan kosong susulan persaraan Senator Gary Peters daripada Parti Demokrat dan dianggap penting dalam usaha parti itu untuk menguasai semula Senat.

Stevens kemudian berkata beliau akan menyokong El-Sayed dalam pilihan raya umum.

"Esok kita akan mula memulihkan perpaduan dalam parti," kata El-Sayed kepada penyokongnya sebelum Associated Press mengumumkan kemenangan beliau.

Bekas pengarah kesihatan Kaunti Wayne itu berkempen berteraskan agenda "Medicare untuk Semua", pembaharuan pembiayaan kempen dan penamatan bantuan ketenteraan AS kepada Israel.

Beliau mendapat sokongan Senator Bernie Sanders dan Ahli Kongres Alexandria Ocasio-Cortez.

Senator Chris Van Hollen berkata keputusan itu "seharusnya menjadi peringatan kepada kepimpinan Parti Demokrat di Washington."

Stevens, yang telah berkhidmat selama empat penggal sebagai Ahli Kongres dan mendapat sokongan Peters, menumpukan kempennya kepada sektor pembuatan serta berhujah bahawa beliau berada pada kedudukan lebih baik untuk menewaskan Rogers.

Intipati
  • Abdul El-Sayed menewaskan Haley Stevens untuk pencalonan Demokrat bagi kerusi Senat Michigan.
  • Beliau akan berdepan bekas Ahli Kongres Republikan Mike Rogers pada 3 Nov ini.
  • Kerusi itu kosong susulan persaraan Gary Peters dan dianggap penting untuk Demokrat.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan